'Saya beritahu nak bayar, tunggu gaji.' Bapa bayi 'disimpan' 16 hari dakwa tiap hari rayu 'lepaskan' jenazah, masalah kewangan punca tiada buku pink

Iklan

TINDAKAN sebuah hospital membiarkan jenazah bayi, Muhammad Adham Mikail 'disimpan' selama 16 hari menyentuh hati. Kes tular tidak berperikemanusiaan itu mengundang kemarahan ramai.

Siapa pun tidak sanggup melihat jenazah si kecil itu yang telah mengeras hingga sukar diuruskan.

Iklan
Iklan

Memetik laporan portal berita tempatan, bapa, Safwan Roshdy, 22, mendakwa beliau telah berusaha untuk mengeluarkan jenazah Adham itu untuk diuruskan.

"Setiap hari saya ke hospital minta untuk uruskan jenazah anak tapi pihak terbabit tak benarkan.

Iklan

"Saya beritahu nak bayar (bil hospital), tunggu gaji," katanya.

Malah, dakwa Safwan bukan kehendak beliau isteri bersalin di hospital swasta.

Iklan

Ia sebaliknya berlaku tanpa diduga apabila ada individu lain membantu menghantar isterinya yang sedang sakit untuk bersalin.

Berkongsi kronologi kejadian, menurut Safwan ketika itu beliau sedang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam sebelum menerima panggilan mengenai keadaan isterinya yang sedang menahan sakit untuk bersalin.

"Saya bergegas pulang dan individu yang membantu menghantar isteri saya ke hospital swasta berdekatan.

"Bayi saya selamat dilahirkan, malah semasa iqamatkan, dia aktif dan boleh menangis seperti bayi lain.

"Tetapi selepas itu hospital beritahu anak saya sudah meninggal," katanya.

Dakwanya lagi, pihak hospital memaklumkan punca kematian bayinya adalah akibat kesukaran bernafas dan beliau telah memohon untuk menguruskan jenazah bayinya itu namun pihak hospital tidak membenarkannya kerana belum menjelaskan bayaran bil.

"Saya tak boleh nak buat apa sebelum minta bantuan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ)," ujarnya.

Menyentuh mengenai kenyataan pihak hospital bahawa beliau dan isteri tidak berkahwin selain enggan menuntut jenazah, Safwan menafikan dakwaan itu.

Beliau sebaliknya mendedahkan mereka sudah berkahwin dan tanggapan tersebut berkemungkinan disebabkan isteri tidak mempunyai 'buku pink' (rekod kesihatan ibu mengandung).

Jelas Safwan mengakui isterinya tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital disebabkan masalah kewangan namun mereka sentiasa memantau usia kandungan melalui aplikasi di telefon pintar.

"Saya sangat kecewa dan sedih dengan tuduhan pihak hospital dan komen orang ramai di media sosial.

Safwan juga mendedahkan kecewa dengan tiddakan sesetengah pihak yang melemparkan tuduhan termasuk tidak berkahwin dan mengecamnya.

Beliau menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

'JANGAN BUAT ANDAIAN JUMUD' - PEGUAM

Sementara itu, peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang mewakili Safwan bakal mengambil tindakan undang-undang kepada netizen melemparkan fitnah terhadap anak guamnya termasuk dakwaan tidak berkahwin.

Ujar Ahmad Zaharil, pihaknya sudah membuat semakan terhadap sijil perkahwinan berkenaan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) yang kemudian mengesahkan kesahihan sijil berkenaan.

"Kami beri tiga jam (sehingga 12 tengah malam semalam) untuk padamkan hantaran atau komen (fitnah).

Pihaknya akan membuat laporan polis berkenaan hal itu.

Mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak hospital berhubung kes anak guamnya itu, Ahmad Zaharil berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat sebelum tindakan undang-undang diambil.

Beliau berkata, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin boleh diambil terhadap pihak hospital kerana kesalahan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari disebabkan bapa tidak menjelaskan bil rawatan.

Namun kata Ahmad Zaharil perlu mendapatkan siasatan lanjut oleh pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara itu.

SinarPlus terdahulu berkongsi kisah daripada Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai berkenaan jenazah bayi istimewa yang terpaksa menunggu dua minggu untuk dikebumikan.

Jasad Muhammad Adham Mikail yang meninggal dunia selepas 30 minit dilahirkan terpaksa 'disimpan oleh sebuah hospital swasta susulan si bapa tidak mampu untuk membayar bil hospital berjumlah RM3,600.

Sumber: Facebook Mr Wan Chai, Harian Metro 1, 2