KANAK-kanak yang sedang membesar sememangnya memerlukan perhatian yang teliti, terutamanya dalam menjaga keselamatan mereka.
Pada usia mereka yang sedang membesar, apa sahaja yang ada di depan mata pasti ingin dimasukkan ke dalam mulut.
Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi kebimbangannya mengenai keadaan bayinya yang termakan najis tikus.
Wanita yang juga pemilik TikTok @yarazaqquntukku dedah kisah mengejutkan tentang anaknya, Dede, yang terpaksa dimasukkan ke wad selama lima hari.
"Tolong doakan baby mama ini. Makan najis tikus. Lima hari dah dekat ward, doakan Dede boleh lawan kuman itu nah,” tulisnya.
Kejadian bermula ketika Yara meletakkan anaknya di katil bayi.
Tak lama selepas itu, dia melihat Dede seperti sedang mengunyah sesuatu.
Alangkah terkejut, apabila mendapati Dede mengunyah najis tikus yang tidak disedari berada di sekitar katil bayi.
Beberapa hari selepas kejadian, Dede mula menunjukkan tanda-tanda awal seperti demam, yang akhirnya memberi kesan kepada kemerosotan fungsi darah, hati, dan buah pinggangnya.
"Mama nak mintak tolong doakan anak mama baby Dede, dia termakan najis tikus.
"Bermula dengan demam, darah, hati, buah pinggang dia semua tak normal lagi. Mama tak kuat. Mama kena kuat untuk anak-anak mama kan,”ujarnya.
Ibu yang ketika itu sedang menjalani latihan di dalam hutan, terus bergegas pulang sebaik sahaja mendapat berita daripada suami mengenai anaknya.
"Papa cakap baby demam dah mama pecut laju dari Bukit Wang ke Sik, waktu itu ada latihan hutan. Demi nyawa anak, mama tak pikir nyawa mama dah. Sampai rumah sejam setengah lebih. Allahuakbar!,”katanya.
Tanpa memberi penjelasan lanjut, ibu kepada lima cahaya mata itu memaklumkan bahawa anak bongsunya perlu menjalani beberapa ujian pemeriksaan.
Bagaimanapun, ketika berita ini ditulis, anak kelima dari adik-beradik sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Meninjau ruangan komen, ramai yang tampil memberikan spekulasi dan pandangan mengenai kejadian tersebut, selain mempersoalkan bagaimana insiden tidak diingini itu boleh berlaku.
Tidak melenting dengan komen orang ramai, Yara memaklumkan rumah yang didiami mereka terletak berdekatan kawasan kelapa sawit yang menjadi habitat tikus, menyebabkan najis tikus sukar dibersihkan sepenuhnya.
Dalam masa sama, Yara mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu yang mendoakan kesihatan anaknya selain berharap doa itu berbalik kepada mereka.