KASIHNYA ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa sepanjang masa.
Tangisan bapa, Ahmad Shahfarin Sulaiman dan isteri ketika menerima skrol diploma anak tersayang, Muhammad Adib yang telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan pada 27 Jun lalu mengundang sebak warganet.
Video khas untuk Allahyarham yang dipancarkan pada skrin ketika Istiadat Konvokesyen ke-10 ICU itu meruntun hati warganet.
"Video ini adalah dedikasi khas buat Allahyarham Muhammad Adib bin Ahmad Shahfarin, pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan yang telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam jalangan orang-orang beriman, al-Fatihah," kongsinya.
Menerusi akaun TikTok Innovative University College (IUC), kematian graduan itu menyaksikan bapa Allahyarham, Ahmad Shahfarin diiringi oleh dua lagi ahli keluarga menaiki pentas konvokesyen.
Lebih memilukan, seluruh dewan termasuk para pensyarah yang berada di atas pentas berkenaan berdiri sebagai tanda memberikan sokongan moral.
Si bapa itu dilihat tidak dapat menahan sebak hingga memeluk Canselor IUC, Datuk Professor Emeritus Dr Hashim Yaacob.
Momen sebak itu telah mendapat perhatian ramai apabila masing-masing mengakui tersentuh melihat bapa Allahyarham.
Rata-rata mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Malah ramai yang mengakui terharu Allahyarham Muhammad Adib tetap membuat ibu bapa bangga walaupun sudah tiada lagi di dunia.
"Arwah tetap banggakan ibu ayah walau sudah meninggal dunia."
"Sebak lihat bila bapa arwah dipeluk ketika ambil sijil anak."
"Mengalir air mata ayah tanda hatinya cukup remuk. Semoga Muhammad Adib ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman."
"When they both hugged each other, a father comforting another father. May Allah grant the family endless strength and sabar."
Pada ruangan komen, ibu Allahyarham sempat mengucapkan terima kasih atas titipan doa daripada warga maya.
"Saya ibu kepada arwah Muhammad Adib mengucapkan terima kasih atas doa anda.
"Kami terlalu menyayangi arwah dan kehilangannya masih terasa sehingga kini," titip si ibu menerusi akaun EJ Food.
Terdahulu, Allahyarham Muhammad Adib bersama tiga rakan meninggal dunia apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 24, Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Johor.
Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, Muhammad Adib dan dua sahabat, Muhammad Ziyad Azmi dan Ahmad Manan Zaini disahkan meninggal dunia di lokasi.
Seorang lagi rakan, Nor Aminul Fitri Nor Azmi pula menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom. Kesemua mereka berusia 21 tahun.
Al-Fatihah.
Sumber: TikTok