TIADA yang lebih menyentuh hati daripada melihat pengorbanan seorang ayah yang bertahun-tahun menggunakan kereta lama, demi memastikan keperluan keluarga mencukupi.
Apatah lagi apabila kereta itu sering rosak hingga pernah tersadai di tepi jalan beberapa kali dan memakan kos yang besar untuk baik pulih.
Namun, kasih sayang seorang anak ini telah mengubah cerita duka menjadi momen penuh kebahagiaan pada hari ulang tahun ayahnya baru-baru ini.
Kisah menyentuh hati ini dikongsikan oleh pengguna TikTok, _justsweetbyintan, yang membuat kejutan istimewa buat bapanya dengan menghadiahkan sebuah kereta baharu.
Mengimbau kisah lalu, ayahnya sanggup menghantar dan menjemputnya pulang kerja selama lebih lapan tahun walaupun ketika bapanya tidak sihat.
Bagaimanapun, pengorbanan itu menjadi asbab utama anak perempuannya nekad memberikan hadiah istimewa sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada ayah tercinta.
"Selama lapan tahun setengah abah sanggup hantar dan jemput adik balik kerja walaupun adakalanya tak sihat,"kongsinya.
Berkat dari niat murni itu, impian wanita yang dikenali sebagai Intan akhirnya tercapai apabila berjaya mendapatkan pembiayaan pinjaman penuh buat pembelian kereta ayahnya selepas dua minggu menunggu.
"Jadi adik tekad nak bawa balik kereta. Allhamdullillah, kurang dua minggu urusan pinjaman bank selesai.
"Seumur hidup inilah benda paling mahal adik pernah beli dan adik bangga dapat hadiahkan abah sebuah kereta,"ujarnya.
Saat yang dinantikan, suasana berubah jadi pilu apabila si ayah mula mengalir air mata syukur ketika mengetahui kereta baharu itu adalah hadiah ulang tahun dari puterinya.
"Selamat Ulang tahun babah kesayangan adik.
"Terima kasih sebab selalu menyokong adik dalam segala hal,"titip anak perempuannya.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya tidak henti-henti memberikan ucapan ulang tahun selain terinspirasi dalam cara masing-masing dalam membahagiakan kedua orang tua mereka.
Mereka juga mendoakan agar rezeki pengguna TikTok itu diperluas oleh ALLAH S.W.T dan diberikan kesihatan buat mereka sekeluarga.