HIDAYAH milik ALLAH SWT yang boleh hadir pada bila-bila masa dan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-NYA tanpa mengenal usia dan jantina.
Dalam sebuah kisah yang penuh makna, seorang wanita warga emas berusia 101 tahun terbuka hati untuk memeluk agama Islam.
Presiden Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung berkongsi kisah itu selepas dihubungi oleh sahabat karibnya Datuk Mohd Daud Leong untuk membantunya mengislamkan ibu tercinta.
Sebelum lafaz, Firdaus terlebih dahulu bertanyakan ketersediaan warga emas itu bagi memastikan bahawa penghijrahan tersebut adalah atas kerelaan hati sendiri dan bukan paksaan.
"Mak cik, ada Chai Chai (panggilan mesra untuk Mohd Daud) paksa mak cik masuk Islam ke..?”soal Firdaus.
"Tak ada la. Mana ada. Saya sendiri mahu masuk Islam...," tenang warga emas itu menjawab.
Jawapan itu bukan sahaja memberikan kelegaan kepada Firdaus, malah membuktikan bahawa keputusan untuk memeluk Islam lahir daripada keinginan sendiri.
Dengan penuh keterujaan, Firdaus membimbingnya melafazkan kalimah syahadah satu per satu dalam Bahasa Arab, diikuti terjemahan dalam dialek Kantonis.
Saat selesai melafazkan syahadah, Mohd Daud memeluk erat dan mencium ibu tercinta sambil mengalir air mata kesyukuran.
Sebagai anak, Mohd Daud hanya mampu menyampaikan dakwah dan mengajak untuk memeluk Islam, tetapi keputusan sepenuhnya bergantung kepada ibunya.
Peristiwa bermakna tersebut turut mengingatkan Firdaus ketika beliau mengislamkan ibunya sendiri pada 2019.
Meninjau ruangan komen, orang ramai tidak ketinggalan mengucapkan rasa syukur atas kehadiran saudara baharu berkenaan.
Rata-rata warga maya menitipkan kata-kata yang penuh makna bahawa pengakhiran hidup seseorang jauh lebih bermakna daripada permulaannya.