DUNIA media sosial dikejutkan dengan berita pemergian seorang pempengaruh dan pencipta kandungan, Muhammad Nazirul Hakim Arman yang terkenal dengan karya-karya mempromosikan keindahan negeri Perak.
Berita pemergian Allahyarham itu disampaikan oleh sahabatnya, Azmeer Iskandar, di laman X.
"Pada yang mengenali Nazirul Hakim atau lebih dikenali iamNazirul di media sosial, beliau telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Al-Fatihah.."tulisnya.
Sementara itu, pakar motivasi, Akhi Fairuz Al-Jengkawi turut meluahkan rasa kehilangan terhadap arwah yang menghembuskan nafas terakhir pada Khamis malam akibat jangkitan kuman.
"Telah pergi sahabat saya @iamnazirul ke negeri abadi jam 10 lebih malam tadi. Dari awal Disember beliau telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman."
Menurut tinjauan SinarPlus di laman media sosial, kali terakhir Allahyarham memuat naik kandungan pada Oktober lalu.
Bagaimanapun, kesungguhan Allahyarham dalam mempromosikan budaya dan keindahan negeri Perak selama ini membuahkan hasil dan mendapat pengiktirafan dengan dianugerahkan sebagai Key Opinion Leader (KOL) of The Year oleh kerajaan negeri Perak.
Pemergian arwah bukan sahaja memberi kesan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan tetapi juga kepada pengikutnya.
Kini, karyanya menjadi kenangan abadi yang akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada khazanah digital yang mempromosikan keindahan dan ketenangan kehidupan desa.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.