Pemuda OKU cuba baca al-Fatihah untuk isteri buat warganet sebak, tidak jemu belajar agama. 'Dialah suami yang baik-baik'

Iklan

HENDAK seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Iklan
Iklan

Biarpun diri berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan deria itu tidak berfungsi sejak lahir, Ariff Mukhtar Ayub, 25, menjadi perhatian warga maya selepas berjaya membaca al-Fatihah.

Video memaparkan gelagat beliau dan isteri, Nazurah Izzaty Dziauddin, 25, tular di laman sosial TikTok hingga meraih lebih 400,000 tontonan.

Iklan

"Alhamdulillah tidak salah mencuba ya. Dialah suami yang baik baik," kongsi Nazurah.

Usaha pemandu e-hailing itu dipuji ramai kerana mampu menghabiskan al-Fatihah dengan baik walaupun kekurangan dari segi sebutan.

Iklan

Tidak hanya itu, Ariff juga difahamkan turut menghafal surah tersebut dan beberapa zikir pilihan.

ALAT BANTUAN PENDENGARAN

Menurut Nazurah, suaminya itu berlatih bertutur dan membaca al-Quran sejak kecil menggunakan bantuan alat pendengaran.

"Dia memang pekak sejak kecil, tahu baca al-Fatihah dan zikir sahaja sebab ada ibu serta ustazah ajar.

Memiliki lebih 60,000 pengikut di laman sosial TikTok, wanita itu juga mendedahkan penerimaan baik warganet terhadap kandungan yang dimuat naik walaupun menggunakan bahasa isyarat.

"Saya memang selalu buat video dan rekod aktiviti kami berdua memandangkan baru berkahwin pada Oktober lalu.

"Kami guna bahasa isyarat ketika berkomunikasi, kalau di rumah memang tenang.

"Jadi, apabila video tersebut tular, memang terkejut. Tetapi, syukur Alhamdulillah ramai beri komen positif, sudi tegur baik-baik dan mendoakan kebahagiaan kami berdua," katanya lagi.

SALING MEMBIMBING

Mendirikan rumah tangga sejak 2016, Nazurah Izzaty berpandangan kehilangan deria pendengaran bukan halangan dalam melayari bahtera rumah tangga asalkan masing-masing faham tanggungjawab serta mampu membimbing antara satu sama lain.

"Setakat ini tiada masalah dari segi komunikasi dan orang luar pun faham tentang kekurangan kami berdua lebih-lebih lagi suami kerana dia pemandu e-hailing.

"Kebanyakan penumpang memang hormat dan tahu, mereka juga guna bahasa isyarat kalau nak ucap terima kasih, bagi saya itu sudah memadai," ujarnya lagi.

Video Ariff membaca al-Fatihah yang dimuat baik Nazurah membuatkan pengguna media sosial TikTok sebak kerana kegigihan suaminya yang cuba mengalunkan al-Fatihah dengan lancar dan tidak jemu belajar ilmu agama biarpun berstatus OKU.

Tidak kurang juga yang berpendapat, solat yang ditunaikan sah sekiranya lelaki itu menjadi imam kepada isterinya lantaran itu sahaja kemampuan dimiliki dan selebihnya hanya ALLAH SWT mengetahui setiap butiran perkataan dilontarkan.

'Solatnya sah, biar pun dia menjadi imam kepada isterinya kerana itu sahaja kemampuannya. ALLAH Maha Mengetahui kemampuan hambanya. Terbaik pasangan ini!"

"Tiba-tiba mata berkaca. Walaupun tidak dapat mendengar dengan baik tetap berusaha. All the best."

"Moga ALLAH memberkati, berusaha menyempurnakan keimanan biarpun kekurangan."

"Hanya ALLAH sahaja yang menilai bacaan kita dik. Semoga bahagia sekeluarga hingga ke jannah."

"Saling melengkapi betul pasangan ini. Perkahwinan yang indah."

Sumber: Sinar Harian, TikTok