KEHIDUPAN masa kini, nilai-nilai kekeluargaan sudah makin berkurangan. Jika tidak meletakkan fokus pada pekerjaan, sesetengah ibu bapa lebih gemar meluangkan masa bersama gajet berbanding anak sendiri.
Perbuatan itu menyebabkan mereka terlepas pandang akan satu perkara penting, iaitu hubungan berkualiti dengan anak-anak.
Dalam perkongsikan yang ditulis oleh seorang psikiatris, Dr Rozanizam Zakaria, beliau mewajibkan ibu bapa mengadakan ‘one to one’ atau sesi bersemuka untuk setiap anak.
"Saya pernah bertanya pada seorang pesakit kanak-kanak saya yang alami gangguan emosi serius atas beberapa cabaran kehidupan yang sangat rumit, apa yang dia mahu pada masa sukar ini. Jawapannya, ‘I wish I can play lego with my dad..’
"Setiap penghujung sesi klinik saya, antara pesan yang saya selalu sampaikan ialah berkenaan kewajiban ibu dan ayah allocate SPECIFIC, DEDICATED & EXCLUSIVE time untuk setiap anak secara individu. Sebagai dewasa, adakalanya kita terlupa nilai waktu bermain pada sisi anak-anak,” tulis beliau.
Ini kerana masa bersama yang eksklusif bukan sahaja mengukuhkan hubungan keluarga, malah mampu menjadi penawar untuk emosi anak-anak yang sedang bergelut dengan pelbagai cabaran.
"Ia ibarat 'ubat' yang mesti dipreskripsi terutama bagi anak-anak yang ada gangguan emosi. Malah, secara teorinya positive bonding mempunyai kesan therapeutic untuk hampir semua jenis neurodevelopmental disorder seperti ADHD, ASD dan ID.
"Serotonin dan dopamine yang terhasil dari aktiviti menggembirakan seperti ini sudah pastinya tidak boleh terhasil sendiri tanpa kita wujudkan sedikit usaha,” jelas beliau.
Dalam perkongsian yang sama, Dr Rozanizam sempat berkongsi cadangan cara mudah untuk meluangkan masa dengan anak, iaitu
1) Cari masa tersebut, 30 min yang berkesan sudah cukup untuk permulaan
2) Beritahu anak ini masa eksklusif untuk dia
3) Buang distraction
4) Biar anak yang lead nak buat apa, bagaimana dan sebagainya.
5) Elakkan guna masa ini untuk menjadi kritikal - komen, kutuk, perbetul cara main anak. Its their time.
Ingat, sesibuk manapun anda, sama-sama cuba bahagi masa yang sebaiknya untuk anak. Mereka ini perlukan perhatian kita sementara mereka kecil sahaja, bila dah meningkat dewasa nanti kita pula yang akan menagih kasih sayang mereka.