SEBAKNYA! Siapa sangka hanya selepas menyusukan anak, wanita ini dijemput ALLAH ketika dalam pelukan suaminya.
Menerusi satu hantaran di Thread, sang suami, Amirul Nafis Amirnuddin mengenang detik akhir si Allahyarham Nur Izzaty Hafizah Abuhuraira menghembuskan nafas terakhir.
Menurut hantaran yang dibuat Amirul, isterinya telah meninggal dunia pada 6 Januari lalu selepas 582 hari hidup bersama sebagai suami isteri.
"Selamat jalan bidadariku. Terima kasih hadir dalam hidup papa (Amirul) selama 582 hari. 6 Januari 2025, papa kehilanganmu sayang. Kita sudah rancang macam-macam perkara tetapi ALLAH lebih sayangkan mama (Nur Izzaty Hafizah).
"Papa akan jaga amanah ALLAH yang ada ini... Muhammad Faleeq Haq (anak) tetap akan papa jaga, membesar dengan baik. Papa sayang mama sangat-sangat, nanti papa datang tengok mama. Doakan papa dan Faleeq ya,” luahnya di Threads pada Selasa yang turut berkongsi foto pusara si isteri.
Manakala di Facebook, lelaki itu menyatakan emosi pilu selepas kehilangan isteri tersayang.
"Perginya isteriku Nur Izzaty Hafizah Abuhuraira pada pagi ini dalam tidur.
"Papa reda segalanya dan halal semua. Papa dan Faleeq sayang mama. Tapi ALLAH lebih sayangkan mama," titipnya.
Dalam pada itu, Amirul Nafis turut menjelaskan bahawa isterinya meninggal dunia sewaktu dalam pelukannya ketika sedang tidur dan baharu sahaja selesai menyusukan bayi mereka yang berusia dua bulan.
"Arwah tiada sakit apa dan tidak mengadu sakit. Kami (Amirul sekeluarga) baharu sahaja sampai dari bercuti di Pulau Pinang. Tidak sangka itu pengakhiran jalan-jalan kami,” titipnya.
ARWAH MENANTU PALING DISAYANGI
Sementara itu, menurut catatan abang ipar Allahyarham iaitu Amirul Naqib Amirnuddin, adik iparnya itu menantu yang disayangi.
"Al-Fatihah untuk arwah adik iparku yang disayangi seperti adik sendiri, Nur Izzaty Hafizah binti Abuhuraira. Tidak kami sangka kehadiran Izzaty dalam keluarga kami cuma dalam masa yang singkat.
"Izzaty menantu pertama Abah dan yang paling disayangi. Terima kasih membawa kebahagiaan dan kegembiraan dalam keluarga kita. Terima kasih dah menjaga ibu abah di rumah, dah membahagiakan ibu abah dan menjadi menantu yang terbaik.
"Kami semua akan sentiasa merindui gelak tawamu Izzaty dan segala tentang dirimu, Allahuakbar. Inya-ALLAH kami semua akan menjaga amanah ALLAH yang cuma sempat bersama ibunya selama 2 bulan saja, Muhammad Faleeq Haq dengan sebaik mungkin.
"Sedih dan perit rasa hati ini atas ujian kehilangan yang berat ni. Kesedihan yang xtergambar dengan kata-kata. Seolah tidak percaya ALLAH cuma pinjamkan Izzaty 19 tahun sahaja.
"Semoga adikku Amirul Nafis Amirnuddin diberikan kekuatan luar biasa untuk meneruskan hidup tanpa isteri tersayang disisi, dan diberi kesenangan dan kesabaran untuk membesarkan anak buah kami yang tersayang, Muhammad Faleeq," kongsinya.
Malah, lebih menyedihkan, menurut Amirul, Allahyarham sempat memuat naik foto bersama puteranya yang tersayang buat kali terakhir.
Warga maya tidak henti mengucapkan takziah dan mendoakan agar cahaya mata yang ditinggalkan menerima kasih sayang sepenuhnya daripada keluarga.