LULUH hati mendengar pengakuan wanita Maimun Sarajul, 60, yang mengakui mengikat perut selama 15 tahun nak ke Tanah Suci.
Mengaku hanya makan nasi berlaukkan bawang dan garam bagi demi menyimpan wang mencukupi, Maimun diuji tetapi akhirnya ditipu oleh syarikat pengendali umrah yang sedang tular ketika ini.
Ibu tunggal kepada lapan cahaya mata itu bersama enam yang lain bagaimanapun dikatakan telah menerima tajaan pakej umrah daripada ahli perniagaan.
TikToker Jalil Razak mendedahkan Maimun dan lima ahli keluarganya serta seorang warga emas dari Pulau Pinang juga turut mendapat tajaan bagi sama-sama ke Tanah Suci selepas menjadi mangsa kegagalan pengurusan syarikat pengendali umrah berkenaan.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik, beliau berkongsi perbualan dengan mangsa-mangsa berkenaan.
Ujarnya, perjalanan mereka ke Tanah Suci akan dilaksanakan pada bulan Februari 2025.
"Terima Kasih @Queens Beauty Mami Fasha @Jjangok Dressmaker Kelantan @MENCEKIK.JB dan warga sengapore.
"Semoga ALLAH beri rahmat beri rezeki yang tiada tolok bandingnya diberi sihat sepanjang hayat dieri syurga buat semua ahli keluarga. Aamin," kongsinya.
Memetik temu ramah bersama portal berita tempatan, Maimun bersyukur dan menerima sumbangan berkenaan.
Beliau dan keluarganya dijadualkan berangkat pada 20 Januari ini.
Ternyata setiap dugaan pasti akan disusuli penyelesaian dan kemudahan.
Warga maya yang tersentuh dengan kisah berkenaan mendoakan agar perjalanan umrah mereka dipermudahkan.
Maimun dan enam orang ahli keluarga termasuk anak dan cucu berstatus orang kurang upaya (OKU) terdahulu tular selepas selepas menjadi mangsa penipuan syarikat pengedali umrah.
Maimun yang selesai membuat pembayaran penuh RM33,000 secara tunai di ibu pejabat syarikat berkenaan Oktober tahun lalu terkandas selepas dijanjikan tarikh berlepas pada 14 Januari.
Tidak hanya itu, Maimun juga telah membuat segala persiapan termasuk membuat penyewaan kerusi roda yang bakal digunakan di Tanah Suci berjumlah RM800.
PENGARAH URUSAN HEJIRA TRAVEL & TOURS DITAHAN
Dalam perkembangan terkini, Polis menahan Pengarah Urusan Syarikat Umrah Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, Mohd Syahril Alias selepas selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama jemaah umrah terlibat.
Difahamkan Mohd Syahril ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, JSJK Selangor pada jam 6.45 petang di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Penahanan berkenaan adalah susulan daripada laporan polis dibuat oleh jemaah yang menuntut penjelasan terhadap kegagalan penerbangan berkenaan.
Sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antrabangsa Malaysia (MHO)pada mulanya tenang bertukar kecoh dan tegang apabila ada jemaah yang tidak bersetuju dengan tawaran dikemukakan pihak syarikat.
SIASATAN DI BAWAH SEKSYEN 420 KANUN KESEKSAAN
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan pasangan berusia 31 tahun itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kira-kira jam 7 petang.
Polis turut merampas beberapa komputer, pasport dan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.
"Kedua-dua mereka akan direman esok untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, JSJK pada Selasa telah menerima laporan berkaitan kes ini daripada seorang wanita tempatan berusia 39 tahun merupakan pekerja syarikat swasta yang mengalami kerugian RM11,000 terkandas untuk mengerjakan umrah.
Hingga ke saat ini sebanyak tujuh laporan polis diterima melibatkan kerugian RM100,000 di Selangor.
"Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak tahun 2022, namun berpindah ke premis tiga tingkat di Sepang sejak Oktober tahun lalu.
"Modus operandi yang digunakan dipercayai memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi TikTok tentang pakej umrah dan berhubung dengan ejen yang dilantik oleh pihak syarikat," ujarnya.
Tegasnya, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan terutama di media sosial.
"Sebarang pengesahan lanjut kesahihan syarikat yang menjalankan pakej umrah boleh membuat semakan dengan pihak Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya," katanya.