WALAUPUN terkurung di sebalik jeriji besi, ikatan kasih seorang bapa tidak pernah terputus.
Baru-baru ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi detik penuh emosi apabila tidak dapat hadir menyaksikan momen-momen bermakna dalam keluarganya.
Bekas Perdana Menteri itu merujuk kepada majlis perkahwinan anak bongsunya, Mohd Norashman dengan pasangannya, Nikola Mulyadi pada Disember 2023 serta kelahiran cucu mereka, Ardan Razak Nor Ashman.
"Anak saya kahwin. Saya tidak dapat hadir.
"Saya dapat cucu baru, saya tak dapat bersama.
"Mata berair bila mendengarnya,"tulis.
Meskipun terpisah,suami kepada Datin Rosmah Mansor itu tetap berusaha untuk kekal tabah dan menunjukkan kegembiraannya dengan meraihkan kedatangan ahli baharu keluarga itu.
"Tetapi kekal tabah, gembira apabila ditunjukkan gambar.
"Meraikan kedatangan Ardan, kelahiran Ashman dan Nikola,"titipnya.
Dalam hantaran itu, beliau turut berkongsi gambar Mohd Norashman yang sedang mendukung anak lelakinya, Ardan, sambil tersenyum kegembiraan.
Sementara itu, Mohd Norashman dalam hantaran di Instagram memanjatkan kesyukuran dengan kelahiran anak pertamanya.
"Halo dunia! Nama saya Ardan Razak Nor Ashman. Insya-ALLAH saya berjanji untuk mengisi dunia ini dengan kebaikan dan penuh kasih sayang.
"Terima kasih kepada mummy @nangelam_ atas ketabahan dan keberaniannya membawa saya ke dunia ini,"ujarnya.
Sebagai rekod, Najib kini menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan pada 22 Ogos 2022 mengekalkan sabitan ke atasnya berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bekas Presiden UMNO itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan, dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.