DATUK Syafinaz Selamat nama yang tidak asing lagi dalam industri seni suara tanah air. Tegas, cantik, berpendidikan dan berkarisma, melihatnya sahaja membuatkan kita bersemangat!
Jurulatih vokal terkemuka dan pengkritik program nyanyian dan seni persembahan itu baru-baru ini mendedahkan pendiriannya tentang perkahwinan.
Menerusi temu ramah portal berita tempatan, figura yang pernah dijoloki panggilan Ratu Soprano itu menganggap perkahwinan mungkin pada usianya mencecah 52 tahun ini akan membuatnya bertambah pening kepala.
"Ramai orang asyik bertanyakan soal jodoh sejak hari pertama saya bergelar penyanyi sehinggalah hari ini.
"Katanya, jika saya berniat untuk berkahwin, saya patut berkahwin dengan seseorang dari negara Barat, kalau tidak, tak payah kahwin katanya,” kongsinya.
Beliau namun tidak pernah menganggap kata-kata biduanita itu sebagai sesuatu yang harus diambil serius kerana baginya jodoh dan maut adalah ketentuan Tuhan.
"Jodoh di tangan tuhan. Kalau DIA kata tak ada, maka tiada tetapi kalau DIA kata ada, saya terima.
"Buat masa ini, berkahwin bukanlah keutamaan dalam hidup saya. Kalau ada lelaki yang sesuai dan senang mata memandang, saya okey, tiada masalah.
"Yang penting dia perlu faham saya dan tidak meletakkan limitasi tentang apa yang saya mahu lakukan dalam hidup,” jelasnya.
SUDAH 'SURVEY' RUMAH ORANG TUA
Genap 52 tahun 11 Januari lalu, pensyarah Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu mengakui sudah sudah terfikir tentang sisa usia yang barangkali akan dihabiskan di rumah penjagaan orang tua.
Baginya, rumah penjagaan warga emas sekarang bukan seperti dahulu dan dia sendiri pernah menilik-nilik lokasi sesuai.
"Jadi, saya tidak menidakkan kemungkinan yang saya akan masuk rumah orang tua satu hari nanti,” kongsinya.
LEBIHKAN PROTEIN, ANGKAT BERAT
Pemilik suara soprano dramatic coloratura itu selalu dikagumi dengan kelangsingan dan penampilan yang tidak dimamah usia.
Sempat berkongsi dua amalannya, Syafinaz mengakui mementingkan kesihatan dan kecergasa manakala kecantikan sudah jatuh di tempat kedua.
"Penjagaan tubuh dan mental sangat penting. Tak mungkin dengan hanya berfikir untuk sentiasa kelihatan muda anda akan menjadi muda, perlu disulami tindakan.
"Pada saya pemakanan yang seimbang sangat penting. Begitu juga dengan fikiran yang positif. Kalau nak kekal kelihatan muda, minda dan hati kena sentiasa muda. Perlu jalani hidup dengan gembira.
"Cuma kini saya lebihkan pengambilan protein kerana sekarang saya amalkan senaman angkat berat.
"Pada usia begini, kekuatan otot sangat penting. Orang selalu fikir nak kurus, nak cantik dan muda. Tetapi untuk saya semua itu jatuh nombor dua. Yang paling utama adalah kesihatan.
"Bila kita kuat, lebih senang untuk bekerja, tak perlulah nanti bila dah tua nak kena ada orang tolong angkatkan beg,” ujarnya.
Sumber: Kosmo