PENGORBANAN seorang ibu yang melahirkan dan membesarkan anak-anaknya adalah anugerah yang tidak ternilai.
Bagi pemuda Alif Rosehaizad, 36, peluang untuk membalas jasa ibunya hadir dalam bentuk yang mencabar namun penuh makna.
Pada Jun 2022, ibunya, Che, 68 tahun, disahkan mengalami Hypoxic-ischemic encephalopathy (HIE), iaitu kecederaan otak akibat kekurangan oksigen, yang menyebabkan beliau lumpuh seluruh badan.
Demi menjaga ibunya, Alif mengambil keputusan meninggalkan kerjaya selesa sebagai eksekutif komunikasi korporat di sebuah syarikat swasta.
Bagi pemilik tiktok @aliffroz, keputusan ini bukanlah mudah, namun baginya, menjaga insan yang telah banyak berkorban untuknya adalah keutamaan.
Pada mulanya, mereka sekeluarga mendapatkan khidmat jururawat peribadi untuk menjaga ibunya pada waktu siang.
Namun, setelah beberapa kali menukar jururawat akibat keletihan mereka menguruskan ibunya yang hanya boleh berkomunikasi melalui gerakan mata, Alif menyedari bahawa penjagaan oleh ahli keluarga sendiri memberikan kesan positif yang lebih ketara.
Setiap hari, anak ketiga dari enam adik beradik itu memastikan ibunya menerima susu setiap tiga jam, menyediakan ubat-ubatan, menukar lampin dan pakaian, memandikan, serta mengemas rumah.
Alif yang juga tiggal di Bandar Seri Putra itu juga melakukan senaman ringan untuk ibunya bagi mengelakkan kudis tekanan dan membersihkan tiub trakea yang dipasang untuk membantu pernafasan.
Walaupun tugas ini menuntut kesabaran dan ketahanan mental serta fizikal yang tinggi, Alif tidak pernah mengeluh.
Pelajar lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) turut mendapat sokongan daripada ayah dan adik-beradiknya yang membantu menjaga ibu pada hujung minggu, membolehkannya berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri.
Bagi Alif, tiada kebahagiaan yang lebih besar selain dapat membalas jasa ibu yang telah melahirkan dan membesarkannya.
Pada awalnya Alif menyangka penjagaan ini hanya sementara, namun sudah lebih dua tahun dia setia di sisi ibunya.
Selain itu, Alif juga berkongsi video di TikTok mengenai teknik penjagaan pesakit terlantar, memberikan inspirasi dan panduan kepada mereka yang menghadapi situasi serupa.