KASIH sayang ibu hingga ke akhirnya, biarpun bukan ibu kandung ketulusan hati Noraini Muda, 49, menggalas tanggungjawab menjaga kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) ‘cerebral palsy’ Muhammad Danish Iskandar Abdullah, 19, hingga ke akhir hayat.
Tular di laman sosial X pengacara popular Fedtri Yahya khabar duka Muhammad Danish menghembuskan nafas terakhir di sisi ibu angkat tersayang.
Biarpun bukan darah daging sendiri, pengorbanan Noraini dipuji netizen kerana sanggup menjaga Muhammad Danish ditinggalkan oleh ibu bapa kandung ketika usia empat bulan hingga ke akhirnya.
Warganet rata-rata mengucapkan takziah kepada buat penjaga berhati mulia itu yang berkorban menjaga anak syurga itu.
"Selamat kembali ke syurga adik Danish. Ya ALLAH kurniakanlah balasan syurga buat ibu yang mulia ini ya ALLAH."
"Anak dan ibu pengasuh penghuni syurga."
"Semoga ALLAH meninggikan darjat kamu wahai ibu yang mulia dan semoga Danish menyambut kamu di pintu syurga. Aamiin."
Memetik laporan Sinar Harian pada 2019, Noraini dari Kampung Laut, Kuala Terengganu pada mulanya berkata berat hati untuk menerima kehadiran Muhammad Danish pada tahun 2009.
Ia kerana suaminya, Rozmi Awang, 56, cuma bekerja sebagai nelayan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga di samping dua anak yang masih kecil dan bersekolah.
Malah, Muhammad Danish diasuh sejak berusia empat selepas ibu kanak-kanak itu memintanya menjaga mengasuh selama sebulan.
"Mulanya si ibu hanya minta saya jaga anak dia selama sebulan saja dengan menjanjikan bayaran RM300. Saya terus terima sebab mahu tambah pendapatan keluarga dengan mengasuh anak orang.
"Tetapi, sangkaan saya meleset kerana daripada sebulan... jadi dua bulan, dan seterusnya, malah dalam masa dua tahun, dia hanya datang untuk membawa lampin pakai buang dan susu anaknya saja.
"Selepas tempoh itu, selama 10 tahun Muhammad Danish Iskandar di bawah jagaan saya, tak ada khabar berita dari dia. Saya juga gagal menghubunginya,” katanya.
Noraini berkata, dia juga telah menganggap kanak-kanak itu sebagai anaknya sendiri dan tidak mungkin akan pulangkan semula ke pangkuan keluarganya.
Bercerita mengenai tahap kesihatan Muhammad Danish, kata Noraini anaknya itu kerap mengalami sawan ketika berusia enam tahun.
Malah Noraini juga memaklumkan dia tidak diberitahu bahawa Muhammad Danish anak istimewa. Katanya si ibu hanya memberitahu anak syurga itu hanya mengalami sawan dan lemas ketika dilahirkan.
"Sayang... memang saya sayangkan Muhammad Danish. Saya tak akan bagi kepada orang lain. Kalau saya mati pun, anak ini akan diserahkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya tak harapkan orang lain menjaga dia kerana tidak sama dengan saya menjaganya terutama dari segi makan dan minum dia yang memerlukan penjagaan teliti,” katanya.
Muhammad Danish terdahulu pernah bertemu ibu sebenar pada 2018 semasa pembikinan MyKad anak syurga itu. Selepas bertemu empat mata, mereka berbincang untuk urusan penukaran hak jagaan ke atas Muhammad Danish kepada keluarga Noraini.
Sumber: X, Sinar Harian