KECOH di media sosial sebelum ini apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.
Namun, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP dilaporkan meninggal dunia pada kira-kira 11 malam tadi.
Bapa mangsa yang masih sedih dengan kejadian ini berkata, pada hari kejadian, beliau menghantar anak sulungnya itu ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth pada jam 2.15 petang, Selasa.
Selepas pulang ke rumah, beliau mendapat panggilan telefon dari guru kelas pada jam 3 petang memberitahu anaknya tidak sedarkan diri.
Apabila tiba di sekolah, si ayah itu melihat keadaan anaknya sungguh memilukan. Bola mata hitam ke atas dan keluar air melalui hidung dan mulut.
Tidak lama selepas itu, ambulans tiba dan mereka memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonar (CPR) berulang kali. Selang beberapa minit, nadi anak kembali semula tetapi dalam keadaan lemah.
"Di HPP, doktor memberitahu harapan anak saya memang tipis, otak dah bengkak, oksigen tak sampai ke otak, ada saluran darah pecah dan terdapat darah beku” kata bapa mangsa.
Jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan di kampung nenek arwah di Permatang Binjai, Penaga, dijangka pada jam 11 pagi ini.