Hasrat berbuka puasa bersama nenek tak kesampaian, dua maut akibat kecuaian pemandu kereta. 'Jaraknya hanya satu kilometer...'

Iklan

SUASANA Ramadan bertukar pilu buat sebuah keluarga apabila dua beradik yang dalam perjalanan untuk berbuka puasa terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Persiaran Senawang 1, Rembau.

Iklan
Iklan

Sebelum kejadian, mangsa memberitahu ahli keluarga untuk menunaikan iftar bersama nenek dan juga ayahnya di Temiang.

Tidak lama kemudian, motosikal yang ditunggangi Muhammad Aidil Ramdan Mohd Hisham bersama adiknya, Muhammad Asyraf Adha Mohd Hisham secara tiba-tiba dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat merah.

Iklan

Iklan

Hentaman kuat itu menyebabkan Muhammad Aidil Ramdan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adik lelakinya mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Seremban.

Ibu saudara mangsa, Rosaliah Diego Atrocinio berkata ahli keluarga masih terkejut dengan kehilangan tersebut selain tidak dapat menerima hakikat tragedi yang menimpa dua cahaya mata mereka.

"Jaraknya hanya satu kilometer, dia tinggal di Lobak dan rumah nenek pula di Temiang. Tak pasti masa kejadian mereka sempat berbuka atau tidak," katanya.

Rosaliah juga tidak menolak kemungkinan pihak keluarga mangsa akan mengambil tindakan undang-undang kerana percaya terdapat unsur kecuaian dalam kejadian itu.

"Jika lihat video tular, ada dakwaan kereta dipandu budak bawah umur dan dipandu dengan laju.

"Jadi buat masa ini, keluarga akan selesaikan urusan pengebumian dulu dan kemungkinan akan tuntut keadilan untuk saman pihak berkenaan," katanya.

Terdahulu, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta jenis Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.

Turut maut dalam kejadian itu ialah rakan mangsa yang menunggang Modenas Kriss iaitu Muhammad Aswari Lotpi.