SESETENGAH orang beranggapan bahawa perlu menjadi kaya terlebih dahulu sebelum boleh bersedekah. Begitu juga dalam melakukan kebaikan, ada yang menunggu masa yang sesuai untuk berbuat baik.
Namun hakikatnya, kebaikan tidak memerlukan kekayaan atau masa yang tepat tetapi cukup dengan hati yang ikhlas.
Seperti sebuah video yang tular di Facebook, pemilik akaun @dayahdimanamuar meluahkan rasa simpati terhadap seorang penghantar barang yang masih gigih mencari rezeki meskipun waktu berbuka puasa telah masuk.
Tanpa berfikir panjang, Dayah dan keluarganya menjemput pemuda tersebut untuk berbuka puasa bersama, yang secara kebetulan menghantar bungkusan ke rumah mereka.
Menerusi video berdurasi kurang satu minit itu, Dayah dilihat menghidangkan pelbagai juadah untuk dikongsikan bersama lelaki berkenaan, antaranya ayam masak lemak cili api, sardin dan sayur.
Selain warga maya memuji tindakan murni Dayah, ramai yang turut kagum dengan layanan mesra keluarganya yang membenarkan penghantar barang itu berbuka di meja yang sama, seolah-olah sebahagian daripada keluarga mereka.
Bagaimanapun, Dayah tidak mendedahkan kejadian penuh selepas menjemput penghantar barang tersebut untuk berbuka bersama.
Namun, dapat dilihat lelaki berkenaan begitu menikmati hidangan yang disediakan dengan penuh rasa syukur walaupun hanya dirakam dari belakang.