JIKA sebelum ini hanya mendengar pengakuan dari anak beliau, kini tiada lagi rahsia apabila usahawan, Rozita Ibrahim sendiri berkongsi gambar dirinya dan suami baharu.
Rozita yang mesra dipanggil Bonda Rozita memuat naik foto terbaharu mereka di hadapan Kaabah ketika mengerjakan umrah.
Di awal perkongsiannya di laman Instagram itu, beliau menulis ‘menjawab persoalan followers’ seakan mengesahkan khabar angin status dirinya yang menjadi bualan orang ramai selama ini.
Malah, beliau juga turut berkongsi komen salah seorang pengikutnya yang meminta beliau untuk mengakui hubungan bersama abang kepada pelakon, Datin Rebecca Nur Al Islam itu.
Di kesempatan itu, ibu kepada Datuk Sri Alif Syukri itu sempat menyelit panjang doa kebahagiaan mereka berdua bersama keluarga.
"Bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, kami datang kepada-MU dengan hati yang penuh harapan dan tangan yang menadah keampunan.
"Kami hamba-MU yang lemah penuh dosa dan kekurangan, namun kasih sayang-MU tak pernah bertepi. Ampunkanlah kami, Ya ALLAH, atas segala khilaf kami, yang sengaja mahupun tidak.
"Ya ALLAH, di bulan yg suci ini, bersihkanlah hati kami daripada segala noda, jauhkanlah kami daripada sifat mazmumah, pimpinlah kami ke jalan yang Engkau reda. Kuatkanlah hati kami untuk terus beribadah dengan ikhlas dan istiqamah, agar Ramadan ini menjadi titik perubahan untuk kami menjadi hamba-MU yang lebih baik.
"Ya ALLAH, jika ada dalam kalangan kami yang sedang berduka, hiburkanlah hatinya. Jika ada yang sedang diuji, berikanlah ketabahan. Makbulkan semua doa yg mereka kirimkan..Jika ada yang sedang sakit, sembuhkanlah dengan kesembuhan yang sempurna. Jika ada yang sedang kesempitan rezeki, limpahkanlah kurniaan-MU.
"Ya ALLAH, kami mohon, berikanlah kami kekuatan untuk terus bersujud kepada-MU, untuk terus berbuat baik kepada ibu bapa kami untuk terus menyantuni insan di sekeliling kami. Jauhkanlah kami daripada kelalaian dunia yg melalaikan, dan dekatkanlah kami kepada amalan yg membawa kami ke syurga-MU.
"Ya ALLAH, jika ini Ramadan terakhir buat kami, jadikanlah ia Ramadan yg terbaik. Jangan biarkan kami pergi sebelum sempat meraih keampunan-MU. Jangan biarkan kami pergi tanpa hati yang kembali kepada-MU dalam keadaan yang suci.
"Ya ALLAH, kurniakanlah kami keberkatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Satukanlah hati kami dengan kasih sayang dan redha-MU. Temukanlah kami dalam syurga-MU yang abadi.
"Kami sayang anak-anak kami.. berikan mereka kekuatan untuk solat dan beramal kebaikan. Kami tak mampu menjaga mereka sewaktu kami berjauhan, maka kami serahkan anak2 kami di bawah jagaanmu Ya ALLAH," doanya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata mengucapkan tahniah atas perkahwinan mereka berdua.
Malah, ada juga memuji terserlah wajah kebahagiaan di sebalik senyuman manis Bonda.
Sebelum ini status perkahwinan Bonda menjadi tanda tanya orang ramai setelah tular kemunculan seorang lelaki di dalam siaran langsung yang dibuat di dalam bilik hotel.
Desas- desus tersebut terjawab apabila salah seorang anaknya yang dikenali sebagai Ain membuat pengesahan perkara berkenaan.
Walapun demikian, beliau memilih untuk kunci mulut tentang punca perpisahan ibunya dengan suami terdahulu.