SEJAK kebelakangan ini nama Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 menjadi sebutan orang ramai.
Ini setelah Tun Dr Mahathir Mohamad membuat penampilan khas beramah mesra bersama orang ramai di beberapa bazar Ramadan sekitar ibu kota.
Berikutan itu, ramai yang berkongsikan gambar mahupun video kenang-kenangan bersamanya.
Terbaharu, tular seorang lelaki berkongsi momen manisnya menerima duit raya daripada figura hebat itu kira-kira 29 tahun lalu.
Perkongsian berbentuk video yang dibuat di aplikasi TikTok itu menunjukkan kepingan syiling 10 sen yang berjumlah RM3 dalam satu gulungan kertas yang bertulis Salam Aidilfitri dan tertera jumlah wang serta tandatangan Dr Mahathir atau lebih mesra di sapa Tun M yang masih berkeadaan baik.
Pemilik nama Syamil Shuib tersebut turut memuat naik gambar kenangan beliau bersama Bapa Pemodenan Malaysia itu di rumah terbuka hari raya di Dewan Jitra ketika berusia 5 atau 6 tahun.
Kata beliau, mak ayah yang simpankan duit raya itu. Kebetulan lelaki berkenaan pulang ke rumah orang tuannya, lantas mereka menunjukkan duit itu dengan gambarnya semasa kecil dengan Tun M.
Tambahnya lagi, generasi muda kini mungkin tidak berpeluang merasai pengalaman sama seperti yang pernah dilaluinya.
"Duit raya Tun (Dr Mahathir) bagi dekat saya. Terima kasih @chedetofficial. Generasi sekarang mungkin sudah tidak jumpa duit raya macam ini," tulisnya dalam hantaran tersebut.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata menyifatkan duit raya itu barangan paling berharga dan memintanya untuk simpan dengan baik. Tidak kurang juga ada yang berkongsi cerita kenangan mereka bersama Tun M.