SEBAGAI ibu dan bapa, kita sedia maklum dengan perangai anak-anak sendiri, terutamanya yang jenis ‘banyak akal’. Ada sahaja perkara yang hendak dilakukan.
Apabila berada di luar, penting untuk memantau anak-anak kerana khuatir akan berlaku perkara yang tidak diingini.
Misalnya, tindakan seorang kanak-kanak lelaki yang secara tiba-tiba mencalarkan sepasang kasut kulit menggunakan kukunya di sebuah butik, baru-baru ini.
Kejadian itu dapat dilihat dengan jelas melalui perkongsian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di aplikasi TikTok oleh seorang pekerja butik berjenama, dipercayai terletak di Pulau Pinang.
Malah, kanak-kanak tersebut juga sempat menoleh ke kiri dan ke kanan sebelum melakukan perbuatan demikian, seolah-olah memastikan tiada siapa yang melihat tindakannya.
Menurut pemilik akaun @syuhad4.j, yang juga pekerja butik itu, perbuatan kanak-kanak berkenaan menyusahkan mereka apabila kasut tersebut terpaksa digilap semula bagi menghilangkan kesan calar.
"Cakar kasut kulit pakai kuku sampai bercalar-balar kasut kita. Memang boleh gilap dan akan hilang, tapi bukan senang nak pujuk pelanggan untuk beli.
"Mohon ibu bapa lebih peka dengan anak-anak walaupun budak ini tak kecil mana. Kita masih boleh tegur anak-anak supaya berkelakuan baik.
"Sebab kita dalam pusat beli-belah, barang yang dijual bukan mainan untuk anak-anak bermain. Kalau nak bermain, mungkin boleh pergi ke taman permainan,” tulisnya di kapsyen.
Tindakan kanak-kanak itu sedikit sebanyak mengundang kemarahan warganet terutamanya terhadap ibu bapanya yang dikatakan tidak mempedulikan tingkah laku anak mereka.
Namun, tidak kurang juga yang menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang biasa dalam kalangan kanak-kanak.