Menjelang Hari Raya yang bakal tiba kurang daripada dua minggu lagi, sudah kedengaran keriangan kanak-kanak bermain bunga api dan mercun.
Namun, dalam keseronokan itu, jangan sampai lalai dengan keselamatan diri. Salah langkah, buruk padahnya.
Memetik laporan Sinar Harian, dua kanak-kanak cedera akibat mercun bola meletup di Kampung Baru, Kuala Nerang, Kedah.
Difahamkan, salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan parah akibat insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Abd Razak Osman berkata, kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan empat tahun itu sedang menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam, dan pihak polis menerima laporan berkenaan pada awal pagi semalam (Rabu) selepas dimaklumkan oleh pihak hospital.
Semasa kejadian, kedua-dua ibu bapa mangsa tidak menyedari anak mereka bermain mercun di luar rumah. Mercun bola itu dipercayai diperoleh daripada rakan sekampung.
Ibu terkejut bunyi letupan, dua beradik jadi mangsa mercun bola!
Iklan