Joy Revfa selamat lahirkan bayi perempuan, suami buat kejutan dengan sejambak bunga mawar merah. ‘Selamat datang Adriana Damya Yeah…’

Iklan

TIADA yang lebih indah buat pasangan suami isteri selain menerima anugerah terindah daripada Ilahi.

Iklan
Iklan

Usahawan jelita, Joy Revfa kini bergelar ibu sekali lagi selepas selamat melahirkan bayi perempuan pada 15 Mac lalu.

Berkongsi momen penuh syahdu itu menerusi media sosial, Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin memuat naik video memaparkan detik romantis suaminya, Dr Muhammad Adrian Yeah, melangkah masuk ke suite mewah sambil membawa sejambak mawar merah sebagai tanda cinta dan penghargaan.

Iklan

"Sebenarnya saya dan suami merancang untuk bersalin secara normal pada 20 Mac, tapi nampaknya si kecil ini tidak sabar untuk melihat dunia. Sebelum sahur, saya mula rasa kontraksi semakin kuat, akhirnya terpaksa melalui pembedahan caesarean kecemasan. Alhamdulillah, segalanya dipermudah oleh ALLAH SWT," kongsi Joy.

Pada usia 38 tahun, Joy turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami penyayang yang setia menemani dari awal hingga akhir proses kelahiran.

Iklan

"Rasa bertuah sangat sebab suami tercinta sentiasa ada di sisi, tak jemu memberikan kata-kata semangat dan menjaga saya serta bayi dengan penuh kasih sayang. Dekorasi cantik di suite ini pun semuanya kejutan daripada dia! You are a true blessing in my life, sayang. I love you so much!" tambahnya.

Menerusi hantaran yang dikongsikan, suite mewah di hospital ternama itu dihiasi indah dengan tema warna merah dan keemasan sebagai sambutan khas untuk kelahiran ‘puteri’ yang dinanti-nantikan.

Joy berkongsi bahawa kelahiran puteri kesayangannya menjadi momen paling berharga buat suami tercinta, yang berpeluang merasai pengalaman memotong tali pusat puteri mereka.

"Syukur alhamdulillah, akhirnya ALLAH SWT mengurniakan kami seorang bayi perempuan yang sangat comel. ‘CinLay’ Adriana Damya Yeah, dengan berat 3kg," luahnya.

Sekadar info, pengasas Merve Cosmetics itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Arryan Firdaus.

Joy juga pernah berkahwin dengan penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun pada 1 Mei 2017, namun perkahwinan itu berakhir pada Oktober tahun yang sama.

Semoga kelahiran Adriana Damya Yeah menjadi penyeri dan pengikat kasih buat Joy Revfa serta suami. Tahniah sekali lagi daripada kami di SinarPlus!