PERSONALITI media sosial, Aisyah Hijanah, mencuri perhatian warganet apabila mengumumkan dirinya kini hamil anak keempat.
Khabar gembira itu dikongsi menerusi satu video di TikTok, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengikutnya.
Menerusi perkongsian tersebut, Aisyah atau nama penuhnya Aisyah Hijanah Azhari sempat merakam momen istimewa ketika berkongsi berita itu dengan suaminya, Mohd Hazalif Mohd Hazani atau lebih dikenali sebagai Alif Teega, serta anak-anak mereka.
Lebih mencuri tumpuan ialah reaksi spontan Alif yang kelihatan terkejut sebelum akhirnya tersenyum lebar menerima berita dirinya bakal menimang cahaya mata lagi.
Dalam nada berseloroh, Aisyah berharap anak keempat ini bakal mewarisi raut wajahnya selepas tiga cahaya mata terdahulu lebih banyak menyerupai suaminya.
"Reaksi mereka terhadap kehamilan anak keempat.
"Semoga anak keempat ini muka Aisyah. Dah beranak tiga, semua muka Alif saja," katanya berseloroh.
Selain mengharapkan bayi yang ‘seiras’, Aisyah turut menitipkan doa agar ALLAH SWT terus memelihara keluarganya yang semakin berkembang.
Sebelum ini, nama wanita itu menjadi perhatian selepas dilaporkan telah memfailkan cerai terhadap suaminya. Menerusi hantaran di media sosial, beliau memohon doa orang ramai agar segala urusannya dipermudahkan kerana ujian yang dilaluinya begitu berat.
Namun, Alif mengakui terkejut dengan perkara itu dan mendakwa tidak mengetahui hal tersebut kerana terlalu sibuk menguruskan perniagaan. Isu berkenaan juga semakin sepi tanpa perkembangan lanjut.
Untuk rekod, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 2017 serta dikurniakan tiga cahaya mata.
Pada 18 November 2023, Alif membuat keputusan untuk berpoligami dan selamat bernikah buat kali kedua dengan wanita pilihannya.
Apa pun, tahniah buat Aisyah Hijanah atas kehamilan ini. Semoga ibu dan bayi dalam kandungan sentiasa dalam lindungan-NYA!