KURANG dari 10 hari lagi, umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pada ketika ini, rata-rata masyarakat sedang sibuk membuat persiapan, termasuk membeli pakaian baharu untuk dipakai pada pagi raya.
Baru-baru ini, tular kisah seorang pemuda India yang bermurah hati membelikan anak-anak yatim membeli baju raya di sebuah premis pakaian terkenal.
Pempengaruh media sosial di platform TikTok, Thedavids, mengakui memahami perasaan anak-anak yatim itu kerana beliau sendiri pernah merasai hidup tanpa kehadiran bapa tersayang sewaktu kecil.
Oleh sebab itu, lelaki tersebut memilih untuk menggembirakan mereka demi melihat senyuman terpancar di wajah anak-anak ini.
"Bila saya tengok mereka, teringat diri saya semasa kecil. Hari ini saya belanja mereka, rasa macam nak menangis, tapi tak boleh.
"Setiap kali melihat mereka, saya teringat ayah. Saya faham perasaan mereka, sebab saya juga anak yatim.
"Saya dibesarkan tanpa ayah, hanya ibu yang menjaga saya. Tiada siapa yang membantu pun. Tapi, bahagian yang paling indah adalah apabila kita bersama mereka, mereka tersenyum. Itu yang paling bermakna,” katanya.
Dalam video tersebut, beliau dilihat melayani anak-anak yatim dengan baik dan memberi mereka kebebasan untuk memilih pakaian yang diinginkan bagi menyambut lebaran.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warganet memuji usahanya dalam membahagiakan anak-anak yatim.
Mereka turut mendoakan agar rezeki pemuda berkenaan terus diluaskan dan mengakui sebak melihat kebaikan yang dikongsikan.