PERNAH mencuri tumpuan sebagai bayi yang nyenyak tidur dalam kotak polistirena ketika bah besar melanda Kelantan pada 2014, kini perjalanan hidupnya bukan sekadar memori, tetapi sebuah kisah penuh inspirasi yang menyentuh hati.
Dalam detik penuh ujian, Fauzan yang baru berusia dua tahun didodoikan dengan alunan selawat merdu oleh bapanya, sementara air banjir terus naik melebihi paras lutut.
Fauzan ketika itu diletakkan di dalam kotak polistirena bagi membolehkannya tidur dan berehat sambil dihayun oleh alunan air.
Namun, setelah lebih satu dekad berlalu, kisah yang pernah meruntun jiwa itu kini bertukar menjadi kenangan manis buat keluarga mereka.
Menginjak usia 12 tahun, kanak-kanak lelaki itu bukan sahaja membesar dengan sihat, malah mencatat kejayaan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024 dengan meraih keputusan 9A.
Berita gembira itu dikongsikan oleh bapanya yang juga pemilik akaun @hadikelateranau menerusi akaun media sosial miliknya.
"Alhamdulillah, syukur ya Allah. Terima kasih semua yang mendoakan. Adik Fauzan, ‘baby polistirena’ dapat 9A UPKK 2024. Semoga terus berusaha menjadi hamba Allah yang cemerlang dunia dan akhirat," tulisnya.
Kejayaan tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen, terutama mereka yang pernah melihat video Fauzan yang tular 10 tahun lalu.
Ramai yang tidak menyangka, kanak-kanak yang pernah menyentuh hati rakyat Malaysia dengan kisahnya itu kini muncul sebagai pelajar cemerlang, mencatat pencapaian membanggakan dalam akademik.
Dalam satu perkongsian lain, bapa Fauzan memaklumkan bahawa mereka sekeluarga tidak lagi menetap di Kelantan. Sebaliknya, mereka telah berpindah ke Ranau, Sabah, dan membina kehidupan baharu di sana.
Untuk rekod, daripada 236,986 calon UPKK 2024, seramai 22,351 memperoleh keputusan penuh 9A.
Kisah Fauzan menjadi bukti bahawa setiap perjalanan hidup, walau dimulai dengan dugaan, tetap mampu berakhir dengan kejayaan.