SAMBUTAN Hari Polis ke-218 pada Selasa membawa pelbagai kisah pengorbanan, keberanian dan jasa wira negara yang berjuang demi keamanan.
Namun, di sebalik kemeriahan ucapan penghargaan, sebuah luahan hati yang menyentuh jiwa menarik perhatian ramai dengan kisah seorang isteri yang masih merindui insan tercinta.
Dalam satu hantaran di media sosial, Aiza Syafinaz Shahak menulis coretan penuh emosi mengenang pemergian arwah suaminya, Inspektor Mohd Fairos Saberon, yang telah kembali ke negeri abadi lima tahun lalu.
"Selamat Hari Polis ke-218 buat arwah suami, Inspektor Mohd Fairos Saberon.
"Esok genap lima tahun abang pergi. Berehatlah dengan tenang di sana.
"Segala kenangan 10 tahun bersama tetap segar dalam ingatan. Insya-ALLAH hari ini (semalam) saya akan datang menziarahi pusaramu. Al-Fatihah," tulisnya di Facebook.
Beberapa tahun lalu, kisah pemergian Mohd Fairos pernah meruntun hati ramai pihak, terutama mereka yang sedang berjuang untuk bebas daripada wabak berbahaya ketika itu.
Difahamkan, arwah telah dibawa ke hospital pada 18 Mac 2020 untuk menjalani saringan kesihatan selepas dikhuatiri dijangkiti wabak Covid-19.
Dalam keadaan lemah, arwah menghubungi isterinya melalui panggilan video untuk memohon maaf dan menitipkan pesanan agar terus tabah serta menjaga diri sekiranya dia tiada lagi di dunia ini.
Beberapa hari selepas itu, pada sambutan Hari Polis ke-213, Mohd Fairos menghembuskan nafas terakhirnya, pergi meninggalkan insan-insan tersayang buat selama-lamanya.
Aiza sebelum ini pernah berkongsi bahawa Allahyarham merupakan seorang pegawai polis yang berdedikasi, sentiasa komited dalam tugas dan patuh kepada arahan pegawai atasan.
Malah, arwah suaminya pernah menyimpan impian untuk pergi menghadap Ilahi sebagai seorang rakyat yang banyak berjasa kepada negara.