Manis berbusana raya merah hitam, pasangan suami isteri maut dalam kemalangan selepas sesi fotografi. 'Ini gambar terakhir mereka...'

Iklan

KEGEMBIRAAN sepasang suami isteri merakamkan kenangan manis menjelang Aidilfitri bertukar tragedi apabila mereka maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung, petang Selasa.

Iklan
Iklan

Mangsa, Lokman Hakim Mohd Shukri dan isterinya, Intan Suraya Zaidi, dikatakan baharu sahaja selesai menjalani sesi fotografi raya di sebuah studio di Parit Panjang sebelum insiden menyayat hati itu berlaku.

Pemilik Bromie Studio, Muhammad Suhaimi Yahaya, berkata pasangan yang masing-masing berusia 23 dan 24 tahun itu hadir ke studionya sekitar jam 11 pagi untuk merakamkan momen bahagia bersama.

Iklan

Muhammad Suhaimi berkata, pasangan itu tampak seperti keluarga biasa dan tidak menunjukkan sebarang kelakuan aneh, malah wajah suami isteri tersebut tidak lekang dengan senyuman.

Iklan

"Wajah mereka berseri-seri dan mereka kelihatan begitu ceria. Mereka banyak ketawa sepanjang sesi fotografi yang berlangsung selama 30 minit.

"Mereka juga sangat teruja apabila mendapat tahu gambar yang diambil boleh siap pada hari yang sama dan dihantar terus ke telefon mereka,” katanya ketika dihubungi.

Namun, malang tidak berbau. Muhammad Suhaimi tergamam apabila menerima perkhabaran mengejutkan bahawa pasangan itu terlibat dalam kemalangan tragis yang meruntun jiwa.

"Tidak lama selepas itu, saya terkejut menerima berita mereka terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Saya mengenali pasangan itu sejak merakam gambar perkahwinan mereka pada Jun tahun lalu. Mereka pasangan yang sangat baik dan kelihatan gembira. Tak sangka ini foto terakhir yang saya ambil untuk mereka,” luahnya sebak.

Menerusi gambar yang tular, pasangan itu kelihatan anggun mengenakan busana raya bertemakan merah hitam ketika merakamkan potret keluarga sempena sambutan Aidilfitri yang kian menjelang.

Terdahulu, kenderaan jenis Perodua Myvi yang dinaiki pasangan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan, menyebabkan mereka bertembung dengan sebuah lori muatan 10 tan.

Insiden tragis itu meragut nyawa kedua-dua mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Salam takziah buat ahli keluarga.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.