Scha Alyahya dedah ibu pendorong, buka pintu rezeki dalam dunia seni. 'Bila arwah tiada tahun lalu seperti...'

Iklan

HAMPIR dua dekad mewarnai industri seni, Scha Alyahya tidak pernah menyangka perjalanan kariernya bermula atas inisiatif paling bermakna dalam hidupnya.

Iklan
Iklan

Bukan dirinya yang memilih laluan ini, tetapi ibu tercinta, Allahyarhamah Junainah Hashim yang membuka pintu rezeki buatnya.

Mengimbas kembali detik permulaan itu, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Mahadzir mendedahkan bahawa syurga kesayangannya itu yang mengisi borang penyertaan Dewi Remaja 2005/2006 tanpa pengetahuannya.

Iklan

Namun, tanpa disangka, langkah diam-diam itu akhirnya menjadi titik tolak yang membuka pintu rezeki Scha dalam dunia seni, sekali gus melakar kejayaan dalam kariernya.

Iklan

"Saya pernah jadi pramugari sebelum ini. Bila sudah dapat apa saya nak, saya berhenti.

"Tapi bila ibu saya tengok tak buat apa-apa, dia yang hantar borang untuk masuk pertandingan Dewi Remaja 2005/2006.

"Saya masuk dan menang, Alhamdulillah. Awalnya saya rasa diri macam tak layak tetapi rezeki tertulis dalam bidang ini.

"Saya teruskan juga dan 19 tahun kemudian masih di sini, itu berkat doa ibu saya,” katanya.

Kenangan itu dikongsikan Scha dalam program YouTube Wardah Heart to Heart with Dayah Bakar baru-baru ini.

Selebriti serba boleh itu turut berkata, arwah ibunya bukan sekadar pendorong, tetapi juga penasihat utama sepanjang perjalanannya seninya.

Setiap kali menerima tawaran berlakon, arwah akan membaca skrip terlebuh dahulu dan memberi pandangan sebelum Scha membuat keputusan untuk mewatakkan peranan tersebut.

"Bila saya dapat skrip, ibu saya yang akan baca," tambahnya.

Namun, pelakon yang terkenal menerusi drama Awan Dania itu mengakui, sejak pemergian Allahyarhamah pada Disember 2024, hidupnya terasa kosong tanpa kehadiran insan bergelar ibu.

"Bila ibu dah tak ada sekarang, saya rasa satu kehilangan besar dalam hidup.

"Semasa ibu saya meninggal dunia pada Disember tahun lalu, itu perkara paling saya takut kerana rasa macam hidup ini sudah tidak ada tujuan,” ujarnya.

Meskipun masih merasai kekosongan itu, ibu kepada dua chaya mata itu kini berusaha untuk meneruskan kehidupan.

"Saya bukan cuba untuk move on tetapi kena move forward. Itu yang saya sedang cuba lakukan,” jelasnya.

Untuk rekod, Allahyarham Junainah menghembuskan nafas terakhir pada 7 Disember tahun lalu di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Punca sebenar pemergiannya tidak pernah didedahkan, namun Scha sebelum ini pernah berkongsi bahawa ibunya menjalani rawatan dialisis selama lima tahun akibat masalah buah pinggang.