Safee Sali kongsi momen sambut Syawal, anak autisme luah rasa gembira cara tersendiri. 'Setiap calar, luka tanda cinta tulus...'

Iklan

SETIAP ibu bapa pastinya mengimpikan momen indah menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang, namun bagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali, perayaan Syawal membawa makna yang lebih mendalam.

Iklan
Iklan

Sempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April lalu, Safee berkongsi pengalaman uniknya menyambut lebaran bersama anaknya, Mateen, yang merupakan seorang kanak-kanak autisme.

Dalam satu hantaran di Instagram, bekas penyerang Harimau Malaya itu berkongsi kisah penuh emosi membesarkan anak istimewa, cabaran yang dihadapi serta bagaimana mereka sekeluarga menyesuaikan diri agar Mateen dapat menikmati Syawal dengan cara tersendiri.

Iklan

Menerusi perkongsiannya, Safee menggambarkan bagaimana anaknya meluahkan kegembiraan dengan cara yang berbeza daripada kanak-kanak lain. Sebagai ibu bapa, beliau dan keluarganya sentiasa belajar untuk memahami serta menerima keunikan itu.

"Day One Raya with Mateen. Setiap calar dan luka adalah tanda cinta yang tulus. Mateen meluahkan rasa dengan cara yang istimewa ketika dia terlalu excited dan happy," tulisnya

Iklan

Namun, dalam kegembiraan, ada juga cabaran yang perlu dihadapi. Suasana perayaan yang meriah dengan ramai tetamu dan perubahan persekitaran boleh memberi kesan kepada Mateen.

Ada ketikanya sukar untuk mengawal emosi, namun Safee dan keluarganya sentiasa memberi sokongan dan berusaha memahami keperluan anak mereka.

Safee turut menjelaskan bahawa meltdown yang dialami anak autisme bukan sekadar luahan emosi biasa, tetapi refleksi terhadap sensitiviti mereka terhadap dunia sekeliling.

"Tak boleh control dan stop. Meltdown adalah refleksi keindahan dalam perbezaan. Ingat, perjalanan ini adalah tentang harga syurga yang tidak ternilai. Sentiasa menyayangi dan menerima," luahnya penuh makna.

Luahan hati Safee nyata mendapat perhatian ramai, terutama ibu bapa yang turut membesarkan anak istimewa.

Rata-rata netizen memuji keterbukaannya berkongsi pengalaman dan menyifatkan kisahnya sebagai inspirasi untuk lebih memahami dunia autisme.

Dalam perkongsian yang sama, Safee dan keluarganya tampil sedondon dalam busana 'olive green', menyerikan lagi sambutan Aidilfitri mereka dengan penuh gaya.

Selamat Hari Raya!