GABUNGAN dua budaya berbeza bukan sahaja dapat menyaksikan pelbagai adat dalam kehidupan seharian, tetapi dapat dilihat dalam perayaan yang disambut terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri.
Seperti pasangan pempengaruh media sosial yang cukup dikenali, Nur Afilah Amir Rusdi mencuri tumpuan warga maya yang berkongsi momen Syawal bersama suami tercinta, Muhammad Adama Camara yang berasal dari Guinea.
Menurut Nur Afilah atau lebih mesra dikenali sebagai Fila Amir, suasana Aidilfitri di kampung halamannya dekat Kedah tetap meriah seperti kebiasaan.
Istimewanya, kemeriahan Syawal di sana berlanjutan hingga ke petang, apabila ahli keluarga berkumpul untuk menikmati juadah barbeku bersama dalam suasana penuh gelak tawa.
Namun, suasana di negara asal suaminya sedikit berbeza bahkan sambutan Hari Raya Aidiladha lebih meriah dan menjadi perayaan utama berbanding Aidilfitri.
"Budaya sambutan perayaan di Malaysia memang berbeza dengan di Guinea. Di sana, Aidilfitri tidak begitu meriah, sebaliknya Hari Raya Haji lebih diraikan.
Paling mencuri perhatian, amalan ziarah-menziarahi di tempat kelahiran suaminya berlangsung dengan cukup ringkas dan pantas tidak seperti kebiasaan di Malaysia yang sinonim dengan pelbagai juadah.
"Di sana, tiada hidangan dihidang untuk dijamu seperti di Malaysia, malah bila beraya pun, hanya berdiri di depan pintu untuk bertanya khabar.
"Lepas lama berborak, kita bermaaf-maafan dan balik. Biasanya cuma 30 minit saja.
"Tapi kalau di sini (Kedah), rumah kami setiap petang Aidilfitri mesti ada sesi barbeku," kongsinya.
Dalam video yang dimuat naik oleh Fila dengan kapsyen ‘Apa suami Afrika makan waktu raya’, kelihatan Adama tidak kekok mencuba pelbagai hidangan tradisi Melayu seperti lemang, rendang, gulai daging, dan laksa yang disajikan pada hari raya.
Namun, yang paling istimewa di hati Adama adalah masakan keluarga mentua yang sederhana namun penuh rasa, iaitu nasi putih bersama ikan goreng sambal.
"Pagi raya kami solat dulu. Balik je, saya terus makan nasi dengan sambal ikan goreng. Sedap!,” ujar Adama.
Rata-rata pengikut mereka di media sosial terhibur dengan gelagat suami isteri ini, apatah lagi melihat bagaimana Adama begitu teruja menikmati suasana raya ala Malaysia.
Untuk rekod, Fila dan Adama bernikah pada tahun 2019. Kehidupan mereka sering mencuri perhatian netizen sejak Fila berkongsi kisah pertemuan pertama mereka di Pavilion, Kuala Lumpur.
Kini, pasangan bahagia itu sedang menantikan kehadiran cahaya mata sulung mereka hasil rawatan kesuburan pensenyawaan in-vitro (IVF) setelah lima tahun menanti.
Semoga Fila dan Adama terus bahagia dalam perkahwinan yang penuh warna-warni!