KEBERANIAN lima lelaki warga Pakistan menyelamatkan lebih 30 nyawa dalam letupan paip gas di Putra Height pada 1 April lalu mendapat penghargaan rasmi daripada Kedutaan Besar Pakistan di Malaysia.
Tidak ketinggalan, usahawan butik terkenal, Farooq Ahmad turut terpanggil untuk menghargai keberanian lima wira berkenaan dengan menyumbangkan pakaian serta wang tunai atas jasa mereka.
Lelaki yang dikenali sebagai Khaista Nawab, Bakht Munir, Amir Nawab, Rafiq Ullah dan Jaafar Ali menerima siji penghargaan khas serta wang sagu hati atas tindakan luar biasa mereka ketika insiden cemas tersebut.
Mengimbau kembali insiden pada hari kejadian, Khaista berkongsi bahawa pada awalnya beliau hanya berniat menyelamatkan diri bersama dokumen penting.
Namun, fikirannya berubah apabila melihat ramai penduduk dalam keadaan panik, terutamanya mangsa dari Kampung Tengah yang terdesak mahu melintas sungai untuk lari daripada bahangnya api.
"Saya fikir, kenapa perlu lari? Kiamat nanti akan ditanya juga. Harus bantu orang walau nyawa sendiri jadi taruhan,” katanya.
Dalam masa sama, lelaki tersebut menegaskan bahawa tindakan mereka bukanlah demi meraih pujian atau balasan, sebaliknya didorong oleh rasa tanggungjawab dan naluri kemanusiaan.
"Kami di sini mencari rezeki. Bila nampak kejadian itu, saya tak fikir panjang. Kita bantu dulu, itu tanggungjawab kita sebagai manusia,” katanya ketika ditemui SinarPlus di Ibu Pejabat Alfaro, Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Khaista yang kini berusia 50 tahun turut menambah, meskipun menerima hadiah dan sumbangan daripada orang ramai, kegembiraan sebenar buat mereka adalah apabila melihat semua mangsa terselamat.
"Tiada yang lebih menggembirakan selain mendengar ucapan terima kasih. Itu sudah cukup memuaskan hati kami,” ujarnya dengan senyuman penuh syukur.
Kelima-lima wira ini berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan dan telah menetap serta mencari rezeki di Kuala Lumpur sejak tujuh hingga lebih 20 tahun lalu.