PERNAH tak berdepan dengan situasi masuk ke dalam kedai barangan seperti Eco, Daiso dan yang seangkatan dengannya, tiba-tiba rasa sakit perut dan ingin membuang air besar?
Haaa... jangan rasa pelik, anda bukan keseorangan! Ramai yang mengalami perkara sama dan reaksi itu sebenarnya adalah normal.
Itulah yang dikongsikan oleh seorang doktor di TikTok, @dr.raihana.ismail, baru-baru ini yang menjelaskan tentang simptom sakit perut secara tiba-tiba apabila masuk ke kedai yang digelar 'berhantu' itu.
"Ada penjelasan sains di sebaliknya. Nama fenomena ini ialah Mariko Aoki Phenomenon. Istilah ini berasal dari Jepun dan pertama kali disebut dalam sebuah majalah pada tahun 1985 oleh seorang wanita bernama Mariko Aoki.
"Dia perasan setiap kali masuk kedai buku, dia akan rasa nak buang air besar secara tiba-tiba. Lama-kelamaan, ramai orang lain mengaku mengalami perkara sama dan fenomena ini pun mula dikenali dengan namanya,” katanya.
Tambah Dr Raihana lagi, kedai seperti ini memuatkan pelbagai jenis barangan baharu yang boleh memberi tindak balas kepada usus.
"Kedai Eco dan Daiso banyak barang baharu plastik, buku, kertas. Bau khusus ini boleh mencetuskan reaksi dalam usus. Scented trigger ini akan mengaktifkan sistem saraf parasimpatetik yang mengawal pergerakan usus.
"Suasana tenang, sunyi dan sejuk buat badan relaks. Bila badan relaks, sistem penghadaman pun jadi aktif. Perut pun mula ‘berbisik’, sama macam kita duduk di rumah tanpa gangguan.
"Ketiga, ialah faktor psikologi dan rutin otak. Kalau badan sudah pernah ‘terlatih’ untuk membuang air besar dalam suasana kedai begini, otak akan aktifkan tindak balas secara automatik setiap kali jejak kaki ke dalam kedai itu,” jelasnya lagi.
Bagus juga sebenarnya ada perasaan sebegitu, sekurang-kurangnya kita tak sempat ‘berlama-lama’ pilih barang! Duit pun kurang keluar, kan?