NIAT bersenam bertukar detik ngeri apabila seorang wanita berdepan detik cemas selepas menjadi mangsa cabul oleh seorang lelaki ketika sedang berjoging di Taman Rekreasi Bukit Serindit pada Khamis lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan kira-kira pukul 11 malam.
Ketika kejadian, lelaki terbabit difahamkan telah cuba menarik wanita berkenaan masuk ke kawasan semak untuk melakukan perbuatan tidak senonoh.
"Saya dimaklumkan ada berlaku kes cabul ketika mangsa sedang berjoging. Dia dipeluk dari belakang, mulutnya ditekup dan cuba ditarik ke dalam semak.
"Nasib baik ada orang lalu dan membantu," katanya.
Sementara itu, dalam hantaran lain, Mohd Noor Helmy memaklumkan bahawa suspek kini berada dalam tahanan polis.
"Rasa macam baru sahaja saya buat hantaran tentang kes cabul di Taman Bandaraya Bukit Serindit, pencabul sudah pun ditangkap.
"Buat yang kena tangkap, pandai-pandailah bawa diri dalam sel tu," ujarnya secara sinis.

