PENAMPILAN si gadis bernama Iman Troye tatkala ditemu bual penulis cukup ringkas.
Berbaju kurung moden biru lembut yang dipadankan dengan selendang rona kelabu membuatkan beliau tampak begitu manis sekali
"Ya! Saya memang suka gaya yang ringkas tetapi bergantung juga kepada jenis majlis yang perlu dihadiri.
"Sejak dahulu lagi, memang saya tidak terikat kepada mana-mana pihak. Saya lebih selesa memilih apa yang diri sendiri suka gayakan,"ungkap Iman ketika berkongsi fesyen yang menjadi pilihannya.
Ujarnya lagi, setiap orang ada karakter dan identiti tersendiri, namun tidak bermakna beliau seorang yang gemar mencipta kontroversi.
"Asalkan kemas, sesuai dan cantik di mata saya, maka tak ada masalah. Saya bukan seorang yang suka tampil dengan benda-benda pelik semata-mata untuk meraih perhatian orang lain. Saya mahu jadi diri sendiri," tegasnya.
Baca ni PTTI lancar insentif dan peraduan PTTI Better Results, hadiah kereta Perodua Axia turut tersedia
Beliau berkata demikian ketika SinarPlus bertemu dengannya dalam satu majlis meraikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anjuran Pusat Tuisyen dalam talian, PTTI baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, pusat tuisyen berkenaan mengumumkan insentif wang tunai sebanyak RM500 bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bagi SPM tahun 2024.
Bukan itu sahaja, sebuah kereta Perodua Axia turut ditawarkan dalam peraduan PTTI Better Results.
Sekadar makluman, Iman merupakan duta kepada organisasi itu sejak tiga tahun lalu.
Berkongsi tentang kehadirannya dalam majlis berkenaan, pemilik nama penuh, Siti Nur Alyssa Sahabudin mengakui bertuah dan bersyukur kerana masih lagi menjadi pilihan pusat berkenaan.
"Bersama PTTI, saya bukan sekadar menghiburkan pelajar tetapi berkongsi dan memberi inspirasi kepada mereka," ujarnya.
Umum juga mengetahui, beliau kini masih menuntut di salah sebuah universiti terkemuka.
Berbicara lanjut tentang hal tersebut, Iman mengkhabarkan dirinya mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian buat seketika bagi memberi tumpuan kepada lagu baharu berjudul Kemboja yang bakal keluar tidak lama lagi.
Baca juga ‘Saya mahu jalan terus’. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah
Seakan tahu ramai yang bakal terkejut dengan Keputusan tersebut, sementelah sesi pembelajarannya hanya berbaki satu semester sahaja lagi.
Kata penuntut Diploma Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, apa yang dilakukan itu semata-mata kerana kerjayanya sebagai penyanyi.
"Untuk lagu kali ini, saya betul-betul mahu beri fokus dan sebab itu memilih untuk menangguhkan seketika pengajian.
"Jika tiada aral, saya akan sambung semula selepas capai apa yang diingini tahun ini," ungkapnya.
Menjawab soalan penulis tentang reaksi ahli keluarga dek keputusan tersebut (menangguhkan pengajian), ini reaksi empunya diri:"Walaupun sebelum ini keluarga begitu tegas bab pelajaran, namun untuk kali ini, mereka memahami komitmen saya.
"Ini kerana industri seni sekarang memerlukan saya bersaing dengan ramai artis. Pun begitu, saya mengambil pendekatan bertenang dan tidak mahu gelojoh dalam membuat satu-satu keputusan," ujar gadis berusia 21 tahun itu lagi.
Suka baca komen
Anak bongsu itu juga mengakui kecintaan dalam bidang muzik menyebabkan beliau memilih subjek berkenaan ketika melanjutkan pelajaran.
"Bidang ini (muzik) cukup sinonim dengan jiwa saya. Sejak kecil, saya sudah mengenali apa itu bidang seni. Saya belajar menari, bermain alat muzik gamelan, dihantar ke kelas piano dan sebagainya.
"Malah, saya pernah cakap dengan mama, lepas tamat SPM, saya mahu menyertai bidang seni dan keluarga merestui dengan syarat habiskan pengajian terlebih dahului. Kini, saya buat apa yang betul yang mana belajar dan bekerja seiring kerana dua-duanya dalam bidang yang sama," ulas Iman lagi.
Alang-alang sudah ada peluang, penulis turut mengajukan pertanyaan mengenai bagaimana penerimaan keluarganya terutama membabitkan kontroversi yang melanda dirinya?
Jujur Iman mengakui, mereka cukup sporting dan memahami, bahkan banyak membantu memberi sokongan untuk beliau bangkit dan tidak mudah give up."Kalau diikutkan, saya tak sekuat sekarang andai tiada sokongan ahli keluarga. Walaupun saya seorang sahaja yang aktif dalam bidang muzik, namun baik ayah, ibu sehinggalah kepada adik-beradik lain, semuanya minat bidang ini.
Sebab itu, setiap kali ada kontroversi melanda, merekalah yang membantu menaikkan kembali semangat saya. Pada masa sama, mereka akan menasihati apa yang perlu dan patut dilakukan selain menegur jika saya berbuat salah," dedah Iman
Baca lagi ‘Awak tak akan suka apabila jadi terkenal’. Itu kata arwah Azmil Mustapha kepada Alya Iman
Jika selebriti lain mengambil pendekatan enggan membaca komen yang dilontarkan netizen dalam satu-satu hal, namun berbeza dengan Iman.
"Saya memang suka baca komen kerana itu salah satu cara untuk perbaiki diri. Jika ada komen berunsur positif alhamdulilah dan negatif pun saya terima dengan hati terbuka
"Semua orang punya pendapat yang berbeza, bukan? Begitu juga dengan hal menerima kritikan. Sebab itu saya kata, bukan semua orang boleh kawal atau baca komen.
"Setakat ini saya okay dan cuba perbaiki segala kekurangan diri. Pun demikian, saya tak nafikan, ada masanya ‘koyak‘ juga. Tetapi saya cepat-cepat hilangkan tekanan itu dengan meletakkan sebentar telefon dan pergi kepada keluarga untuk cool down," ujar iman lagi.
Pencinta haiwan
Menggali lebih mendalam sisi peribadi gadis yang cukup pemurah dengan senyuman itu, kata empunya diri, jika tidak bergelar penyanyi, mungkin beliau kini menjadi doktor veterinar.
Rupa-rupanya si kecil molek itu merupakan seorang pencinta haiwan. Bahkan, personaliti media sosial itu turut bercerita tidak geli atau takut untuk memegang cicak mahupun ular.
"Hati saya mudah tersentuh lebih-lebih lagi melihat haiwan dalam kesakitan. Biarpun hanya dalam televisyen, mulalah rasa sedih.
"Dulu saya pernah bela kucing 12 ekor namun kini hanya tinggal tujuh ekor sahaja. Selain kucing, ada juga cicak jenis ekor tebal. Pernah juga sebelum ini saya membela hamster tetapi sudah mati. Ikutkan nak bela ular tapi tak kesampaian. Saya langsung tak rasa geli sebaliknya pada saya ular nampak comel," ujarnya sambil tertawa.
Akuinya, pernah sebelum ini beliau bercita-cita membuka kedai haiwan, namun hajat tersebut tidak kesampaian.
"Mungkin selepas ini saya nak buat mini zoo di rumah jika ada rezeki. Lagipun keluarga tiada sebarang bantahan dan mereka okay," ulas pelantun lagu Teman itu lagi.
Dalam kesempatan tersebut, penulis sempat mendapatkan pandangan beliau tentang sikap anak muda yang segelintirnya dikatakan sangat fragile dan tidak memiliki hati yang kental. Mungkinkah faktor terlalu dimanjakan keluarga menjadi pencetus kurangnya sikap berdikari pada anak-anak muda zaman sekarang?
"Pada saya, kita tidak boleh sapu rata semua (anak muda) memiliki sikap sedemikian. Mungkin ada segelintir yang sebegitu. Ini semua disebabkan oleh cara hidup dahulu dan kini yang berbeza. Kalau dulu susah nak dapat maklumat, tetapi kini semuanya di hujung jari sahaja.
"Sebagai anak bongsu dan bergelar pelajar, saya lihat ramai sahaja anak-anak muda yang rajin bekerja. Bahkan, ada kawan-kawan saya yang membuat kerja sambilan sambil belajar. Begitu juga saya.
"Mereka ini kebanyakannya bukan datang dari keluarga berada. Justeru, duit yang diberikan ibu bapa tak mencukupi jadi, terpaksa lah bekerja untuk mencari sumber pendapatan lebih.
"Mereka tidak suka meminta-minta kerana enggan menyusahkan keluarga terutama yang kurang berkemampuan," ujarnya lagi sebelum mengakhiri perbualan bersama penulis.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
angan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!