HAJAT menimang cahaya mata kembar selepas sembilan tahun menunggu tidak kesampaian apabila pasangan suami isteri kemalangan dan meninggal dunia.
Pasangan tersebut maut dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalang Gua Musang – Lojing pagi semalam.
Memetik laporan Bernama, kakak sulung kepada mangsa, Suhaily Khairudin, 49, berkata, usia kandungan arwah adiknya, Suhana Khairudin, 37, kini telah masuk enam bulan dan dijangka bersalin September ini.
Menurutnya, Suhana baru sahaja selesai menjalani prosedur memindahkan air ketuban untuk seorang daripada bayi kembarnya di dalam kandungan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.
"Dia (Suhana) mendapat kebenaran untuk pulang kira-kira petang semalam, jadi mereka bertolak dari Ipoh dan bercadang menyewa hotel di Cameron Highlands,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Menurut Suhaily, beliau menerima panggilan mengenai kejadian menimpa adiknya daripada adik bongsunya kira-kira jam 10 pagi.
Sementara itu, ibu saudara Suhana iaitu Hakiah Nor, 61, pula memberitahu, Allahyarham ada memaklumkan mereka hanya berehat di dalam kereta kerana kesemua hotel di tempat peranginan itu sudah penuh ditempah, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kota Bharu pagi ini.
"Sebelum itu, saya ada mencadangkan mereka agar ke Kuala Lumpur terlebih dahulu dan menggunakan Lebuhraya Karak, namun mereka menolak dan ingin meneruskan perjalanan melalui Jalan Lojing,” katanya.
Dalam pada itu, suasana sedih dan pilu menyelubungi tanah perkuburan Islam Tunjong di Kota Bharu apabila mendengar luahan anak sulung pasangan tersebut yang asyik memanggil kedua orang tuanya.
"Saya nak papa...mama," tangis Qaisara Damia, 15 di sisi kubur ibu bapanya.
Tindakan anak sulung daripada dua beradik itu mengundang sebak kepada ahli keluarga, sanak saudara dan orang ramai yang menghadiri majlis berkenaan.
Pemergian ibu dan ayah dalam sekelip mata itu benar-benar mengejutkan adik-beradik tersebut sementelah hubungan mereka sekeluarga cukup rapat.
Qaisara bagaimanapun berjaya ditenangkan ahli keluarga dan oleh sanak saudara. Setakat ini, urusan penjagaan dua beradik bakal diputuskan selepas perbincangan bersama kedua belah keluarga. Dalam kemalangan pukul 9.35 pagi semalam, seorang anggota tentera Ridwan Effendy Yusof, 43, dan isterinya Suhana maut di lokasi kejadian akibat tercampak keluar dari kenderaan.
Manakala dua anak pasangan terbabit, Akid Darwisy Ridwan Effendy, 9, dan Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15 mengalami luka di bahagian kaki dan mulut.Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Ridwan Effendy dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Gua Musang sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelah kiri lalu merempuh tembok longkang di tepi jalan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
angan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!