PEMERGIAN Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sememangnya mengundang rasa pilu dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk figura seni tanah air, Datuk Fazley Yaakob yang menyimpan kenangan peribadi bersama Allahyarham.
Menyorot kembali kenangan lalu, Fazley atau nama lengkapnya Ahmad Fadzli Yaakob berkongsi beliau pernah menerima nasihat penuh makna daripada bekas Perdana Menteri kelima itu yang sentiasa menjadi pegangan hidup sehingga ke hari ini.
"Pak Lah sering ingatkan saya ‘hang jadi artis, kerjaya utama jangan tinggal. Mak ayah hang kena jaga, agama tetap diutamakan.
"Seraya menepuk-nepuk bahu saya, al-Fatihah buat pemimpin hebat kita,” katanya dalam hantaran Instagram.
Dalam pada itu, pelantun lagu Asmara Ini turut berkongsi momen mencuit hati yang kekal segar di ingatan.
Menurut Fazley, Allahyarham yang mesra disapa Paklah sering tersilap menyangka dirinya sebagai Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.
"Hang (awak) bila naik bulan lagi?" Secebis kenangan yang sukar saya lupakan bersama Allahyarham Tun Abdullah Badawi ketika bersalaman dengannya.
"Arwah sering keliru antara saya dan Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muzszaphar ketika itu.
"Bila arwah ayah saya betulkan Pak Lah (nama gelaran Tun Abddullah) ‘Yang Amat Berhormat, ini Fazley, anak saya, yang depan itu Sheikh Muszaphar’, kami semua terburai gelak berdekah satu baris di dewan,” ujarnya.
Mengimbau memori sewaktu menyandang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Pusat Dagangan Dunia (WTC) selama hampir sedekad, bapa kepada empat cahaya mata itu mengakui rumah terbuka Aidilfitri pada era kegemilangan Allahyarham antara acara paling meriah dan berskala besar yang pernah diuruskan
"Ketika itu, saya bertugas selaku Pengarah Eksekutif di WTC selama hampir 10 tahun.
"Mengendalikan pelbagai acara antarabangsa dan tempatan, namun yang sering menjadi sejarah dan kenangan adalah ketika sambutan rumah terbuka Pak Lah, paling ramai menerima kunjungan tetamu.
"Hingga pasukan dapur WTC terpaksa membuat ‘adhoc’ dapur berbumbungkan khemah sementara bagi menyiapkan juadah hampir 250,000 orang. Bayangkan betapa kelam kabutnya kami,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir ketika usia 84 tahun di Institut Jantung Negara akibat komplikasi pernafasan pada Isnin.
Jenazah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas solat Zuhur, dengan ribuan hadir memberikan penghormatan terakhir.
Di sisi pusara, kelihatan balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, anak-anak beliau Datuk Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah, serta menantu, Khairy Jamaluddin, yang juga bekas Menteri Kesihatan.
Al-Fatihah.