Dari asma teruk, kini anak dah boleh berlari! Penting dapatkan rawatan yang betul

Iklan
Untitled design - 2024-06-03T204404.536

PENYAKIT asma dalam kalangan kanak-kanak adalah penyakit yang biasa dan melibatkan semua peringkat umur. Kira-kira satu daripada 10 individu terjejas dengan penyakit ini, dengan kejadian yang lebih tinggi bagi anak yang berumur 6 hingga 14 tahun di bandar.

Memetik dari portal Myhealth, serangan asma boleh tergolong kepada serangan yang tidak serius, sederhana hingga ke tahap yang boleh mengancam nyawa. Ia juga boleh menjadi punca kanak-kanak dimasukkan ke hospital.

Iklan
Iklan

Justeru, fokus harus diberikan pada pelan rawatan secara peribadi, ubat-ubatan yang lebih maju, dan strategi pengurusan bersama yang dapat meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang menghidap asma.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Angelina Amaladoss, penting untuk membezakan antara asma dan selesema kerana simptomnya sama namun implikasinya berbeza.

Iklan

Selesema biasanya disebabkan oleh jangkitan virus dan menunjukkan simptom seperti demam mendadak, sakit badan, sakit kepala, dan sakit tekak. Ia juga boleh menyebabkan masalah gastrousus seperti muntah atau cirit-birit. Gejala-gejala ini biasanya sembuh dengan cepat dan tidak memerlukan ubat.

[caption id="attachment_145290" width="561"] Dr Angelina Amaladoss[/caption]

Iklan

Manakala, asma melibatkan simptom yang lebih lama dan mungkin dikaitkan dengan sejarah keluarga seperti resdung, ekzema dan atopi. Simptom batuk lebih ketara pada waktu malam, awal pagi dan bila penat lelah. Mungkin juga terdapat gejala semput, pernafasan yang cepat, sesak nafas dan sakit dada serta tanda resdung dan ekzema.

"Mengenal pasti punca asma adalah sama penting seperti memulakan rawatan yang sesuai.

"Penyakit ini memerlukan pendekatan komprehensif untuk pengurusan yang berkesan, tidak seperti selesema. Diagnosis awal dan tepat penting untuk mencegah komplikasi jangka panjang dan memastikan kualiti hidup kanak-kanak tidak terjejas.” Jelas Dr Angelina.

Pendekatan terkini untuk penjagaan asma bergantung pada simptom dan pencetus yang khusus kepada kanak-kanak.

Oleh itu, rawatan disesuaikan untuk mengurangkan kesan sampingan dan menyasarkan paru-paru secara langsung.

"Dalam merawat asma, tiada one-suit-fits-all. Rawatan disasarkan khusus untuk paru-paru, berbanding kaedah lama yang diambil secara oral dan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan,” kata Dr Angelina.

Bagi kes asma yang teruk, pengenalan ubat-ubatan baharu dan teknik yang kurang invasif menandakan kemajuan yang ketara. Inhaler masih kekal sebagai rawatan utama, tetapi bagi kes yang lebih mencabar, kaedah seperti antibodi monoklonal (contohnya, omalizumab atau mepolizumab) dan antagonis reseptor leukotriena (LTRA) digunakan untuk menguruskan gejala dengan lebih berkesan.

Banteras asma

Bagi mengurangkan gejala penyakit itu dalam kalangan kanak-kanak, penting untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong bermula dari rumah. Pendedahan kepada asap rokok, vape, kemenyan, bulu haiwan peliharaan, patung mainan, dan juga permaidani harus dielakkan.

Dedah pakar itu lagi, penting untuk mengawal persekitaran dan melaraskan gaya hidup untuk meyokong pengurusan asma. Pelan pengurusan asma secara peribadi bukan sahaja mampu menangani simptom dengan serta-merta tetapi juga meningkatkan kualiti hidup jangka panjang bagi kanak-kanak.

"Asma yang dikawal dengan baik membolehkan kanak-kanak berkembang dalam bidang akademik dan sukan, mengurangkan lawatan ke klinik, dan meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.

"Ramai ahli sukan antarabangsa, termasuk David Beckham dan Paula Radcliffe, mempunyai asma yang terkawal dan mereka berjaya maju dalam bidang sukan mereka,” jelas Dr Angelina.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa penyakit asma tidak boleh diubati. Meskipun ramai kanak-kanak yang menghidap asma bebas daripada penyakit tersebut ketika meningkat dewasa, namun pematuhan untuk mendapatkan rawatan secara konsisten adalah sangat penting.

Pendekatan ini membantu mencegah berulangnya gejala dan memastikan pengurusan asma jangka panjang.

Menurut Dr Angelina, kejayaan dalam perubatan dapat dibuktikan dalam satu kes kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang menghidap batuk berpanjangan. Keadaan bertambah teruk terutama pada waktu malam dan awal pagi, disertai dengan hidung tersumbat selama enam bulan.

Situasi tersebut menyebabkan dia tidak dapat hadir ke sekolah dalam tempoh yang lama sehingga menjejaskan prestasi akademiknya.

Malah, kanak-kanak itu terpaksa berhenti daripada melakukan aktiviti sukan kerana batuk dan sesak nafas yang berterusan.

Selepas penilaian menyeluruh, pesakit didiagnosis dengan asma bronkial dan resdung.

Rentetan daripada itu, kanak-kanak itu telah menjalani rawatan termasuklah bronkodilator tindakan panjang (long-acting bronchodilator) dan kortikosteroid, bersama semburan kortikosteroid hidung yang membantu mengawal simptomnya dengan baik.

Selepas dua minggu menerima rawatan, akhirnya dia boleh meneruskan aktiviti biasa dan menikmati kehidupan hariannya seperti biasa.

Perjalanan dalam merawat asma kanak-kanak adalah rumit, namun dengan harapan dan berkat kemajuan dalam perubatan, membolehkan kanak-kanak yang menghidap penyakit itu menjalani kehidupan dengan riang.