SEKARANG ini, semua benda hanya di hujung jari sahaja. Nak cari iklan di media sosial semua ada termasuklah tentang rumah untuk disewa.
Namun, dalam rasa teruja, berhati-hati dengan taktik licik scammer yang suka menyamar sekarang ini.
Menerusi perkongsian seorang lelaki yang dikenali sebagai Arif Muhd di Facebook baru-baru ini, dia memohon bantuan ahli grup untuk mencari wanita yang dipercayai telah menipunya dengan urusan sewa rumah di Razak City Residences.
Lelaki itu mendakwa mengalami kerugian RM5,000 selepas membayar untuk unit penginapan jangka pendek (seperti Airbnb) yang kononnya dijadikan sebagai rumah sewa jangka panjang.
Mangsa menemui iklan sewaan tersebut di sebuah laman web hartanah yang terkenal dan kemudian bertemu dengan seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai ejen hartanah.
Menurut perkongsian itu, mangsa menerima dokumen yang kelihatan sah, dua set kunci dan kad akses, malah sempat memeriksa akaun bank yang nampak sah dan dipercayai sebelum memindahkan wang ke dalam akaun wanita itu.
Beliau kemudiannya baru menyedari bahawa unit tersebut sebenarnya adalah unit Airbnb yang telah disewa sementara oleh si scammer.
Kes tersebut mencuri perhatian apabila ramai yang berkongsi menjadi mangsa penipuan sewa rumah. Modus operandi juga sama.
Seorang pengguna Threads, @schael_, mengakui pengalamannya nyaris ditipu oleh scammer.
Semasa datang untuk melihat rumah yang ingin disewa, dia rasa curiga apabila melihat rumah tersebut terlalu cantik dan lengkap dengan cadar baru, tuala digulung elok seperti di hotel, siap ada Wi-Fi.
Lebih mendatangkan keraguan, rumah yang lengkap dengan perabot itu hanya disewa dengan harga RM1,800 sahaja sebulan. Sedangkan rata-rata harga sewaan di tempat itu adalah RM2,500.
Kebiasaannya, golongan scammer berkenaan akan menyediakan dokumen dan kunci akses yang kelihatan rasmi.
Selain daripada iklan di platform hartanah yang sah, unit yang lengkap dengan perabot dan harga sewa yang murah daripada harga pasaran. Malah, ada yang suka memberikan tekanan kepada bakal penyewa untuk segera membayar deposit.