Puteri sulung genap 13 tahun, 33 pesanan Fedtri Yahya ini bikin sebak. 'Senjata mengharung kehidupan sebagai wanita...'

Iklan

PANTAS masa berlalu, pejam celik anak yang dahulu kecil kini meningkat remaja. Siapa sangka anak sulung pengacara tersohor Ahmad Fedtri Yahya, Indah Sutera Jannah kini sudah 13 tahun.


Menjelang pada 30 April, figura yang merangkul gelaran Ikon Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pengulas TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2024 itu sempat menitipkan pesanan anak perempuannya.

Pesanan dan ingatan berupa puisi disampaikan si ayah kepada anak dalam bentuk kiasan yang cukup indah mengundang perhatian warganet.

Nanti dewasa miliki rasa,

mahalkan cinta sebelum binasa

Jangan merindu pada yang tak sudi,

jangan meratap pada yang dah pergi

Jangan mengharap pada yang tak pasti,

jangan merayu pada yang dah benci

Serasi bukan terletak di mata,

tetapi sepadan di dalam jiwa

Jangan terkesan bandingan orang,

selami sendiri si dia tersayang

Jika getaran telah berputik,

impian bersatu selalu berdetik

Jangan serah segala hati,

simpan separuh sebagai sakti

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Jangan mudah termakan harapan,

simpan iman sebagai penampan

Jika nanti rekah jalinan,

ada bekalan untuk bertahan

Jika nanti hambar hubungan,

ada penawar meluput kenangan

Jika nanti cintamu zulmat,

tak perlu tabur dendam kesumat

Bangkit dan julang seribu maaf,

tadabbur makna pasrah dan khilaf

Usah rebah sebelum nikah,

usah berlebih dalam bercanggah

Yang terkurang disantuni cermat,

yang menawan jadikan azimat

Usah berteman si dia yang dayus,

dilanda gelora terus menikus

Pancarkan pesona pada yang halal,

tutup laluan ke jalan yang dangkal

Tak rugi tidak dipuji,

hidup bukan mainan janji

Jangan menangis di dalam hati,

luahkan rasa pada Yang Mengerti

Andai tertutup telinga manusia,

keluh dan kesah hamparkan pada-NYA

Jangan menanti terlalu lama,

tegaskan diri bak dewi kesuma

Jangan jadi bunga murahan,

sebelum kembang ditimpa dahan

Jangan pudar sebelum menguntum,

simpan kejutan mustika terharum



Jangan mengorak kelopak terluka,

sucikan diri setulus cempaka

Kalau seroja damailah di tasik,

beralun tenang air berbisik

Kalau dipuja bagaikan mawar,

jadikan duri perisai yang tegar

Ingat sejarah semalu di tanah,

dalam malu senjata memanah

Namun tak perlu simalakama,

racun rahsia di hati kama

Menjadi apa pun biarlah berpada,

walau diri di puncak persada

Kerana dirimu tetap indah,

sutera syurga lambaian jannah

Naiklah ke langit dengan cinta,

bukan di bumi tersilau mata

Ada takdir kasih mulia,

berkat doa munajat pada-NYA

Bidadari terhormat taman firdausi,

puncak segala nikmat abadi

Warganet tersentuh dengan bait-bait indah nukilan Fedtri rata-rata mengakui ia adalah pesanan yang disampaikan setiap bapa kepada anak perempuan.

"Puisi yang indah untuk wanita-wanita sebagai senjata mengharung kehidupan. Nukilan yang indah diselami. Selamat hari lahir wahai si manis kekasih ayah bonda."

"Pesanan lembut tapi padu. Semoga yang baik-baik untuk Indah Sutera Jannah."

"Masya-ALLAH bila bapanya @fedtriyahya pandai berpuisi sedap baca setiap bait kata-katanya. Moga membesar menjadi anak yang solehah berjaya dunia akhirat."

"Inilah pesanan yang ibu bapa hendak sampaikan kepada setiap anak perempuan, kadang-kadang tak terungkap. Fedtri zahirkan ia dalam bentuk terindah puitis. Terbaik"

Sekadar info, Indah Sutera Jannah yang kini meneruskan persekolahan peringkat menengah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) adalah anak sulung daripada empat adik-beradik.

Fedtri berkahwin dengan seorang guru, Nurul Anati pada Mei 2011.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Indah Sutera Jannah, 13, Ahmad Wildan Arjuna, 11, Indah Rauvda Inaara, 8, dan Ahmad Firaas Mevlana, 6.