SELEPAS 9 bulan mengikat tali pertunangan, pelakon Eyka Farhana akhirnya sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid.
Hanya dengan sekali lafaz, pasangan itu selamat diijabkabul tepat jam 10.12 pagi tadi dalam majlis yang berlangsung di Boathouse By The Lake, Ampang.
Eyka, atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, menerima mas kahwin sebanyak RM3,200. Pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihak pengantin perempuan.
Eyka tampil anggun mengenakan baju kurung moden berwarna putih rekaan Teh Firdaus, manakala Akhyar, atau nama sebenarnya Muhammad Akhyar Abdul Rashid, segak berbaju Melayu sedondon.

