ISU keselamatan pin Jalur Gemilang kembali menjadi perhatian selepas seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan apabila terpijak pin bendera yang terjatuh dari baju abangnya.
Insiden tersebut tular di media sosial bersama tiga keping gambar yang memaparkan keadaan jarum pin berkenaan yang tertusuk ke dalam isi kaki kanak-kanak terbabit, menyebabkan dia terpaksa dihantar ke pusat perubatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam hantaran berkenaan, ibu bapa disarankan agar lebih berhati-hati dan mempertimbangkan alternatif pemakaian lencana yang lebih selamat untuk anak-anak, seperti menampal atau menjahit terus pada pakaian seragam sekolah. Langkah ini bertujuan mengelakkan insiden tidak diingini, khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah.
"Untuk perhatian ibu bapa... berhati-hatilah dengan pin bendera Malaysia. Lebih baik beli jenis pelekat atau jahit terus pada baju. Lencana yang percuma itu mungkin kurang sesuai untuk murid-murid berumur lapan tahun ke bawah.
"Budak-budak masih kurang cakna dengan risikonya. Yang ini pun tak sedar lencana tercabut dari baju abangnya dan terjatuh atas kerusi kereta,” demikian menurut perkongsian berkenaan.

