TIADA betul atau salah dalam penyimpanan harta atau aset. Ia bergantung kepada cara seseorang itu mengurus dan memanfaatkan aset tersebut.
Jadi, jangan pernah mempertikaikan aset atau koleksi seseorang kerana kita tidak tahu ia mungkin berguna pada waktu kecemasan.
Misalnya seperti yang berlaku kepada pelakon dan pelawak, Achey, apabila ada pihak mempersoalkan tindakannya mengumpul koleksi motosikal dalam jumlah yang banyak dan tidak membeli aset seperti tanah.
Achey membuktikan bahawa pembelian motosikal itu berguna apabila beliau dapat menjualnya untuk membiayai kos perubatan arwah ibunya, Ngaisah Hassan, seperti dikongsikan dalam sebuah podcast baru-baru ini.
"Orang kecoh dengan aku, ‘Wah ada 48 biji motosikal,’ tapi aku ada visi aku tersendiri.
"Dekat sini aku nak bagitahu, ini bukan nak mengungkit ya, tapi lebih kepada persediaan buat anak-anak di luar sana.
"Ramai yang cakap dekat aku, ‘Oi jadi artis beringatlah. Kau beli motor sampai 48 biji, motor kau nak buat apa?’
"Ini aku nak cerita... Arwah mak aku sakit selepas arwah ayah aku meninggal, ada komplikasi dekat pankreas. Ketika itu, untuk dapatkan rawatan terbaik, berapa banyak simpanan yang kau ada?
"Jadi untuk seorang ibu yang melahirkan 10 orang anak, takkan tiada seorang pun yang boleh berikan rawatan terbaik kepada dia, sedangkan dia dah bagi yang terbaik kepada kita.
"Dan aku memang cakap, aku akan bawa mak aku ke hospital yang paling baik,” katanya.
Achey sangkal dakwaan kumpul 48 motosikal satu kerugian, akui jual demi rawat ibu sakit kanser!
Iklan