Noah Ariz, kanak-kanak berusia dua tahun tular di TikTok kerana mampu menghafal sifir satu hingga sepuluh dengan lancar.
VIDEO sering tular di aplikasi TikTok, kehebatan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ini menjawab sifir yang diajukan oleh ibunya sememangnya mampu membuat warganet terpukau!
Menurut Najwa Abd Ghafar, kebolehan itu mula dikesan sejak anaknya, Noah Ariz Amirul Mukminin menunjukkan minat terhadap nombor dan corak kiraan, sehingga digelar ‘genius matematik cilik’ yang mampu menghafal sifir satu hingga 10 secara spontan dan lancar.
"Seawal umur setahun lima bulan dia sudah pandai mengira mengikut turutan nombor, sehinggalah beberapa minggu sebelum Aidilfitri baru-baru ini, saya terdengar dia membaca sifir dua dengan lancar.
"Dia sebut seorang diri... ketika itu dia dengan saya dalam kereta dan terdengar dia sebut, dua, empat, enam, lapan, sampai habis. Tak dinafikan, saya agak terkejut.
Tambah pensyarah Sains Komputer di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor ini lagi, kebolehan anaknya itu muncul secara tiba-tiba walaupun ketika itu beliau dan suami tidak pernah mendedahkannya kepada animasi berbentuk pembelajaran.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
Jelasnya, apabila mendapat tahu tentang kebolehan tersebut, beliau mula membantu Noah Ariz untuk melancarkan lagi hafalan dengan memperkenalkannya kepada permainan pengiraan, kad imbas, buku dan pelbagai bahan bantu belajar lain.
"Bila dia sudah mula menunjukkan minat dan boleh hafal sifir, saya mula bagi dia tengok kartun Numberblocks dan lama-kelamaan nampak dia semakin obses dengan nombor, sampai tidur pun sebut nombor.
"Untuk ajar dia pula, kena tengok dulu... kalau saya sebut dan dia sambut soalan, itu maksudnya Noah tengah tunjukkan minat. Jika kita tanya tapi dia buat tak tahu, saya tak akan paksa.
"Noah tiada masa khusus untuk belajar. Masa yang saya ada dengan dia itulah saya guna untuk bermain sambil belajar,” ujarnya.
Ditanya mengenai amalan atau pemakanan ketika hamil, Najwa berkata, ketika itu beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Komputer dan banyak terlibat dalam pembacaan serta penulisan akademik.
"Tiada makanan istimewa atau amalan tertentu. Cuma saya rasa mungkin sebab ketika itu saya tengah ambil PhD (masih dalam proses menamatkan PhD), jadi banyak buat kerja membaca dan menulis yang mungkin memberi kesan.
"Daripada segi pemakanan pula, Noah tidak suka makanan manis. Dia lebih gemarkan buah dan saya akan cuba elakkan beri dia makan makanan tidak berkhasiat.
"Berkenaan gajet, saya lebihkan tontonan animasi pendidikan di YouTube, namun dengan kawalan dan pemantauan terhadap kandungan yang ditontonnya,” jelasnya.