Tiga mangsa nahas FRU selamat dikebumikan. Wajah sugul, air mata anak & keluarga iringi perjalanan terakhir bikin sebak!

Iklan

BEBERAPA hari ini, rakyat Malaysia diselubungi rasa sedih dan muram. Bermula dengan peristiwa anak gajah yang mati dilanggar oleh lori muatan ayam.

Ditambah pula dengan pasangan suami isteri yang cedera akibat dilanggar lari. Manakala semalam, negara dikejutkan lagi dengan berita duka pemergian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam satu kemalangan tragis di Teluk Intan, Perak.

Iklan
Iklan

Bermula petang semalam hingga ke pagi ini, rakyat Malaysia masih setia mengikuti siaran langsung dan juga laporan berita dari Unit Forensik Hospital Teluk Intan serta istiadat penghormatan terakhir jenazah di Markas FRU Unit 5 Sungai Senam pada pukul 3.30 pagi ini.

Tiga jenazah anggota FRU yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan semalam antara yang terawal selamat dikebumikan.

Iklan

Menurut laporan Sinar Harian, jenazah Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif yang berusia 33 tahun tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Fair Park. Upacara pengebumian dijalankan mengikut Istiadat Pengebumian Kepahlawanan sekitar jam 4.50 pagi ini.

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila lebih 100 pegawai dan anggota serta ahli keluarga hadir memberikan penghormatan terakhir.

Iklan

Sementara itu, jenazah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, turut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya pada jam 5.20 pagi. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nur Aini Samiun, 44, serta tiga orang anak: Muhammad Raqin Najmi, 13; Muhammad Rizqi Nazhan, 9; dan Nur Aqeela Rawida, 6.

Wajah sugul dan air mata yang mengalir kelihatan di wajah setiap ahli keluarga mengiringi perjalanan terakhir wira negara ini.

Manakala di Parit Buntar, jenazah Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Mubarak, Kampung Telok Pial, Kuala Kurau kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Allahyarham Muhamad Akmal yang telah berkahwin, meninggalkan seorang isteri dan juga dua orang anak kecil masing-masing berumur enam dan dua tahun.

Dalam kemalangan yang melibatkan lori muatan batu kerikil dan trak FRU pagi semalam, lapan anggota FRU meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.

Difahamkan, kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugasan kawalan perarakan sempena sambutan Hari Wesak semalam.