ANTARA ketakutan terbesar bila tinggal di rumah bertingkat tinggi ialah keselamatan anak-anak, terutama si kecil yang sedang lasak meneroka dunia sekeliling. Walau sebaik mana kita berjaga-jaga, malang memang tidak berbau.
Baru-baru ini, satu kejadian menyayat hati berlaku di Presint 9, Putrajaya, apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, insiden itu diketahui selepas seorang doktor dari Unit Kecemasan Hospital Putrajaya membuat laporan polis pada Sabtu jam 2.24 petang.
Kanak-kanak itu dibawa ke hospital oleh bapanya dalam keadaan berlumuran darah, namun disahkan telah meninggal dunia selepas diperiksa oleh petugas perubatan.
"Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh bangunan residensi berkenaan.
"Bedah siasat akan dijalankan pada jam 8 pagi esok dan kes masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, difahamkan menerusi hantaran di grup Facebook komuniti Putrajaya, kejadian yang berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari itu bermula dengan aksi biasa seorang anak kecil yang gemar memanjat sebuah sofa lama yang diletakkan rapat ke dinding koridor.

