BOLEH dikatakan bahasa Melayu antara perantara komunikasi yang paling senang nak dipelajari oleh warga asing di seluruh dunia.
Bahkan, ia pernah menduduki tempat pertama bahasa paling mudah di Asia yang dipaparkan menerusi portal esl-languages.com dan thelanguagedoctors.org.
Jadi, tak hairanlah kalau warganegara asing yang tinggal lebih setahun boleh fasih cakap Melayu walaupun ada pelat sikit-sikit.
Barangkali disebabkan mudahnya nak belajar cakap orang lokal membuatkan satu famili dari Amerika Syarikat jadi tumpuan netizen.
Mana tidaknya, perkongsian video pendek oleh pemilik TikTok, @muslieyusof membuatkan ramai teruja terutamanya melihat si cilik yang berselera makan roti canai dengan tangan.


Bukan setakat itu jer, pasangan suami isteri Mat Saleh tersebut fasih berbahasa Melayu dan berbual mesra dengan pemilik yang bertanyakan asal usul mereka.
Lagi mencuri perhatian netizen, warga asing yang mesra disapa Osmand rupa-rupanya sudah menetap di Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu.
Sekali pandang, memang nampak macam orang tempatan dengan loghat Terengganu.
Setelah diselidik, lelaki itu sedang belajar di institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang bersama isteri serta dua anaknya yang comel.
Setiap bual bicara antara @muslieyusof dan Osmand macam kawan baik ketika kali datang makan ke gerai itu.
"Alhamdulillah...pelancong dari USA mari repeat plok makan roti canai, satey, nasi minyok dan lemak...siap kabo anok-anok dia kata roti canai dan sate sini sangat sedap,” tulisnya.
Tatkala ditanya kenapa suka makan roti canai, Osmand memberitahu, semua makanan Malaysia okey dan sedap.
"Bolehlah promote makan roti canai di sini sebab sedap,” katanya yang melayan soalan cepu emas daripada tauke kedai.Satu lagi video sama yang dikongsikan pemilik Warung Satey Chikeng Mamamia itu juga memberitahu, Osmand sudah dua kali datang makan di kedainya.
Namun kali ini, beliau membawa isteri dan anak-anak sekali untuk makan di sana.
Rata-rata netizen yang mengikuti perkongsian video tersebut berasa terharu apabila orang luar pandai cakap Melayu.
"Suka pulak tengok, sopan je pakaian wife dia..sangat bagus tengok pada pergaulan family ni, pandai dan cepat sesuaikan diri dengan lifestyle orang Malaysia...” - AQMA
"Bagus betul family mat Saleh ni..baru tiga tahun dok sini dah fasih cakap Melayu...elok cakap Malaysia....tidak terbulu-bulu.” - Rosmalinaali
"Tiga tahun, dah pandai berbahasa Malaysia dan pandai makan guna tangan.” - Mazlan64_
"Bahasa Indonesia dan Malaysia bahasa yang paling senang belajar kat dunia.....pernah terbaca kat mana info lupa....” - Khatam12
"Berselera si kecik tu makan.” - Daneazack
"Cukup respect. Mereka hormat dan belajar budaya dan bahasa tempatan. Moga mereka juga menerima hidayah.” - Zaradi Zainon