SEMALAM kecoh di media sosial apabila seorang murid mengalami kecederaan di kepala didakwa akibat terkena kotak pensel yang dibaling oleh seorang guru.
Dalam video tersebut, ibu bapa kepada murid itu terkejut apabila menemukan kesan kecederaan di belakang kepala anak mereka sebaik sahaja pulang dari sekolah.
Bagaimanapun, kes tersebut dilaporkan telah diselesaikan dalam satu perjumpaan antara keluarga murid, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu, hasil perbincangan sekitar jam 12 tengah hari itu mendapati kejadian berlaku disebabkan salah faham antara kedua-dua pihak.
"Laporan polis yang dibuat sebelum ini juga telah ditarik balik pada hari sama sekitar jam 4.40 petang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

