BERBAKI 10 hari lagi menjelang hari wukuf, seorang jemaah dari Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci.
Khabar duka kembalinya Mohamad Noor bin Mustaffar ke rahmatullah menjadikan total empat kematian duyufurahman dilaporkan setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menerusi hantaran di laman sosial Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga
"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.
"Saya dengan rasa dukacita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Noor bin Mustaffar.
"Arwah merupaan jemaah haji KT014 dari Kuala Rompin, Pahang yang telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2025 jam 11.30 pagi di Rehab Al-Janadiriyyah, Makkah akibat serangan jantung," titipnya.
Menyifatkan kematian tersebut mulia, beliau turut menitipkan doa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.
"Allahyarham pergi dalam keadaan mulia, sebagai tetamu ALLAH, dalam usaha menunaikan rukun Islam kelima.
"Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah," kongsinya.
Dalam masa yang sama, Mohd Na'im berkata, pihak Tabung Haji akan menguruskan pelaksanaan badal haji untuk Allahyarham dan urusan berkaitan lain akan disempurnakan dengan sebaiknya.
Terdahulu, negara berduka menerima khabar dua jemaah iaitu Norizah Tambonan, 47, dan Abdullah Mat, 59, yang juga meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ia diikuti jemaah berasal dari Tawau, Sabah, iaitu Aripin @ Ariffin Jawah @ Ab Halim dilaporkan meninggal dunia 21 Mei lalu.
Takziah buat keluarga Allahyarham daripada team SinarPlus, al-Fatihah.