PENGACARA terkenal, Fedtri Yahya menitipkan ucapan penuh makna buat isteri tercinta, Nurul Anati Ismail sempena genap ulang tahun ke-14 usia perkahwinan.
Diijab kabul pada 28 Mei 2011, ucapan penerbit eksekutif Malaysia Hari Ini tersebut mengenang jasa dan pengorbanan suri hati menyentuh hati ramai.
"Alhamdulillah. Pejam celik, sudah 14 tahun melayari bahtera perkahwinan. Semua warna telah dirasa.
"Terima kasih buat isteri saya yang bersusah payah menjadi arkitek penting dalam rumah tangga," titipnya.


Dedah Fedtri beliau kagum dengan kekuatan Nurul Anati. Perjalanan kehamilan dan kelahiran detik amat mencabar namun cinta hatinya tetap tabah.
Malah, wanita yang bertugas sebagai guru itu pernah menghadapi insiden mengancam nyawa ketika mengandung anak ketiga.
"Awal perkahwinan adalah tempoh yang mencabar disebabkan si dia kalau mengandung, memang akan ‘terdampar tak bermaya.'
"Tiga bulan terawal kehamilan memamg keluar masuk hospital. Pernah pada jam 2 pagi terpaksa membawa anak-anak lain yang masih kecil ke hospital saat isteri ‘tumpah darah’ (mengandung anak ketiga)," tulisnya.
14 tahun menganyam kasih dan membina keluarga, Fedtri tidak lupa menitip pesanan rumah tangga.
"Kecemasan, kegetiran, kesedihan adalah sahabat kepada kasih sayang. Tak boleh putus asa.
"Mahligai bukan soal gelak tawa sahaja. Kedukaan adalah sebahagian daripadanya. Fahami bahasa cinta masing-masing. Sulam mana yang perlu. Tampung mana yang termampu.
"Bak kata pujangga, jika kamu meminta hujan. Tidak selamanya dilatari pelangi dan gerimis indah. Selepas hujan turun, kita mungkin akan diuji lumpur dan lecak yang ada di sekeliling.
"Tak sabar, tak mekar. Tak sabar, akan pudar.
"Moga terus mengharum wangian cinta hingga ke akhirnya," kongsinya.
Dalam hantaran sama, beliau turut menitipkan nasihat memilih pasangan bagi yang sudah menginjak usia.
"Di umur sekarang, jika engkau jatuh cinta lagi jatuhlah dengan lebih tenang.
"Sebab cinta bukan lagi perkara getar dada, namun tentang siapa yang bersedia bersujud bersamamu hingga akhir usia.
"Bukan tentang siapa yang paling manis melantun janji, melainkan siapa yang paling tabah mendampingi dalam letih dan sunyi," titipnya.
Hantaran yang menerima lebih 2,000 tanda suka itu menyentuh hati warga maya. Rata-rata menzahirkan tahniah dan mendoakan agar Fedtri serta pasangan bahagia sehingga ke syurga.
Sekadar info, Fedtri dan Nurul Anati berkenalan di Masjid Taman Tun Dr Ismail ketika sama-sama terlibat dalam penggambaran program TV Dari Masjid Ke Masjid.
Difahamkan, Nurul Anati ketika itu merupakan salah seorang peserta program berkenaan. Malah pertemuan itu membuka hati Fedtri untuk berumah tangga selepas enam bulan perkenalan.
14 tahun berkongsi hidup, pasangan manis ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Indah Sutera Jannah, Ahmad Willdan Arjuna, Indah Rauvda Inaara dan Ahmad Firaas Mevlana.