BAGI kanak-kanak yang masih kecil dan sedang membesar, mereka mungkin belum faham sepenuhnya tentang perbezaan kulit bagi setiap orang.
Tanpa pendedahan awal atau teguran yang betul, ia boleh membawa kepada sikap ‘body shaming’ apabila mereka makin besar nanti.
Itulah yang cuba diterapkan oleh pempengaruh dan usahawan, Ryzal Ibrahim, apabila beliau mendidik anak perempuannya, Rina, supaya tidak menilai orang berdasarkan rupa fizikal semata-mata.
Baru-baru ini, Ryzal atau nama sebenarnya Nik Muhammad Rizal Nik Ibrahim berkongsi perbualan beliau bersama anaknya tentang isu warna kulit.
Dalam video di TikTok, Rina memberitahu dia memakai semburan pelindung matahari (sun screen) untuk mengelakkan kulitnya menjadi gelap kerana beranggapan ia akan menjadikannya ‘tak cantik’.
Menyedari salah faham tersebut, Ryzal terus menegur Rina secara lembut.
"Moana (watak Disney) tu cantik kan? Walaupun kulit dia coklat, Rina tak boleh cakap kulit warna coklat tu tak cantik. Warna coklat pun cantik.
"Rina pun kulit warna coklat tapi cantik juga. Jadi tak semestinya orang yang kulit putih je cantik. Ada je yang kulit coklat, kulit hitam... tapi tetap cantik," kata beliau.
Dalam masa sama, lelaki berusia 33 tahun itu juga menasihati anaknya supaya sentiasa bangga dan yakin dengan diri sendiri.
"Kalau Rina nampak orang kulit coklat atau hitam, tak boleh terus cakap tak cantik. Rina kena bangga, kena gembira. I’m beautiful brown girl’,” ujar Ryzal.
Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet memuji cara pempengaruh media sosial itu mendidik anaknya supaya tidak menjadikan warna kulit sebagai pengukur kecantikan seseorang.